Sabtu, 11 Julai 2009

PPSMI: Bukan mansuh di sekolah sahaja tetapi juga universiti

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Selaras dengan Akta Pendidikan 1996, pemansuhan PPSMI tidak seharusnya terbatas di peringkat sekolah sahaja kerana Akta Pendidikan turut merangkum sistem pendidikan di peringkat pengajian tinggi.

Bagi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing, Prof. Dr. Awang Sariyan, kerajaan seharusnya bertegas dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat Matrikulasi, Tingkatan Enam dan Institusi Pengajian Tinggi.

Jelasnya sewaktu dihubungi Harakahdaily semalam, keputusan memansuhkan PPSMI itu bertepatan dengan hujah dan alasan perjuangan pejuang-pejuang bahasa selama ini.

Dengan keputusan ini juga katanya, diharapkan kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan pada waktu akan datang dengan melaksanakan sesuatu dasar yang bertentangan dengan dasar negara serta tidak berdasarkan kajian mendalam lebih dahulu.

Beliau juga menegaskan, pemansuhan tersebut membuktikan PPSMI bukanlah kaedah yang betul dan berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta sains dan matematik di kalangan pelajar.

Jelas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia ini juga, pelaksanaan kembali bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains menunjukkan dasar negara dalam bidang pendidikan telah sebahagiannya dikembalikan menurut undang-undang negara, iaitu akta Parlimen tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan seharusnya perlu itiqamah dan konsisten dalam mempertahankan dasar negara yang betul dan baik. - mks. _

Tiada ulasan: