Selasa, 21 Julai 2009

Polis trafik dituduh terima rasuah RM1,000

BERNAMA


KOTA KINABALU: Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000.

Roslan Abu Bakar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Hakim Supang Lian menetapkan tarikh perbicaraan pada 30 September hingga 2 Oktober ini dan membenarkan Roslan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Mei, 2008, pukul 5.50 petang di pejabat Polis Trafik Daerah Papar, di mana beliau menerima suapan rasuah RM1,000 daripada Saiful Azmi Harudin supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya mengikut Seksyen 42 Akta Pencegahan Jalan (Akta 333).

Jika sabit kesalahan, Roslan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang membawa penjara tidak kurang 14 hari atau tidak lebih daripada 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada suapan atau RM10,000, manamana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Joyce Blasius mengendalikan pendakwaan manakala Roslan tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: