Khamis, 2 Julai 2009

Polis Selangor Beri Kerjasama Baik Kerajaan Negeri

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


SEPANG – Polis Selangor hari ini memberi jaminan keselamatan rakyat tempatan dan pelancong asing yang berada dalam pusat peranginan negeri ini sentiasa menjadi keutamaan mereka selain memberi kerjasama baik dengan kerajaan negeri petang tadi di sini.

“Keselamatan adalah kerja kita, tidak timbul masalah polis tidak beri kerjasama. Kita akan sentiasa memastikan bahawa keselamatan rakyat dan semua pelawat di negeri Selangor ini terjamin.

“Kita dijemput untuk melawat projek ini dengan tujuan untuk merancang ruang lingkup keselamatan yang perlu dibuat di kawasan ini apabila ia mula beroperasi nanti”, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pusat peranginan baharu di Sepang Gold Coast dekat sini.

Khalid juga menyangkal dakwaan terhadap Polis Selangor enggan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor setelah isu permit jamuan malam Ulang Tahun ke-43 DAP di Klang dibatalkan timbul apabila didapati majlis tersebut diadakan di luar pusat perkhidmatan Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu sehingga kini polis belum ditempatkan di mana-mana pusat peranginan di Selangor, hanya di tempat-tempat tumpuan pelancong sahaja anggota polis biasa dan polis pelancong ditugaskan bagi memantau tahap keselamatan agar sentiasa terjamin.

“Masih terlalu awal untuk saya jelaskan strategi dan perancangan kita untuk kawasan ini. Sudah pastinya kita akan merancangkan tindakan dan langkah terbaik untuk memastikan keselamatan tempat ini dan juga pelawat-pelawat”, tegas Khalid berkata cadangan meletakkan pondok dan penempatan polis di kawasan tersebut mungkin dipertimbangkan mengikut keperluan dan keadaan semasa kelak.

Sehingga kini, fasa pertama pembinaan pusat peranginan Sepang Gold Coast hampir siap sekitar 70 peratus dengan jumlah pelaburan kira-kira RM350 juta manakala nilai hartanah yang ditawarkan di Sepang Gold Coast serendah RM500 ribu sehingga RM2.4 juta seunit.

Dalam tempoh 20 tahun akan datang, projek resort lima bintang yang dijangka siap pada Disember 2009 nanti bakal menjadikan Sepang sebagai contoh bandaraya baharu bercirikan pelancongan, kaya dengan keindahan alam semulajadi yang terpelihara.

“Untuk fasa pertama ini jumlah pelaburan kira-kira RM350 juta untuk pembinaan diikuti dengan fasa kedua dan ketiga manakala dalam tempoh 20 tahun, projek ini bakal menjadikan Sepang sebagai bandar baharu pelancongan yang terkemuka di Malaysia khususnya Selangor”, kata Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Gold Coast Sdn Bhd ketika ditemui semasa sidang media bersama Ketua Polis Selangor di sini.

Tambahnya lagi, projek yang sudah tiga tahun dilaksanakan dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mendapat maklum balas luar biasa daripada pelabur dalam dan luar negara, jelas memperlihatkan industri pelancongan semakin berkembang positif di Malaysia khususnya Selangor yang mempunyai potensi yang baik.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Dato' Mhd Jabar Ahmad Kembali.

Tiada ulasan: