Ahad, 26 Julai 2009

Polis panggil semula Julfekar

MYMETRO


PETALING JAYA: Komposer, Julfekar Ahmad, 45, yang disiasat berkaitan dakwaan mengugut mahu menyebar gambar dan video lucah penyanyi, Farawahida, boleh dipanggil semula jika hasil penelitian forensik terhadap telefon bimbitnya menemui ‘sesuatu’.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata ia bergantung kepada siasatan forensik terhadap telefon bimbit komposer berkenaan.

Menurutnya, pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan mengenai siasatan forensik polis di Cheras terbabit selepas telefon bimbit komposer itu diambil ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 6 Julai lalu.

“Biasanya kalau membabitkan siasatan terhadap alat elektronik ini akan mengambil sedikit masa, tetapi yang penting kita masih menyiasat mengenai dakwaan itu,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap komposer berkenaan selepas Farawahida atau Farawahida Razali, 24, membuat empat laporan polis dengan terbaru pada 1 Julai lalu di IPD Petaling Jaya, mendakwa Julfekar mengugut mahu mengedar gambar dan video lucahnya.

Arjunaidi berkata demikian ketika ditemui di program Bersama Penduduk di Taman Gasing Indah, di sini, semalam.

Difahamkan, siasatan awal polis terhadap telefon bimbit Julfekar sebelum ini tidak menemui sebarang gambar atau klip video lucah penyanyi Farawahida seperti yang didakwa penyanyi terbabit.

Berikutan itu, polis terpaksa merujuk telefon bimbit komposer itu kepada forensik bagi dibuat penelitian selanjutnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan untuk menyebabkan kematian atau kecederaan.

Kemelut antara kedua-dua mereka bermula apabila Julfekar yang juga pemilik Millenium Art Sdn Bhd (MASB) mendakwa Farawahida yang masih mempunyai setahun kontrak pilihan, gagal menyempurnakan perjanjian ditandatangani apabila menyepikan diri sejak Februari lalu.

Sementara itu, sempena program berkenaan Arjunaidi yang sempat bersemuka dengan penduduk menerima beberapa cadangan mengenai kaedah untuk menangani jenayah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penduduk memberi beberapa langkah seperti rondaan polis bagi menangani kejadian jenayah di sekitar beberapa taman perumahan di kawasan berkenaan.

“Kita akan meneliti cadangan yang diterima ini kerana bagi saya sendiri mereka (penduduk) lebih tahu situasi di kawasan sendiri,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti kejadian jenayah yang sering berlaku di kawasan berkenaan membabitkan jenayah pecah rumah, ragut dan kecurian motosikal.

Namun, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini kejadian jenayah di kawasan itu mencatatkan penurunan 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kita tidak berasa puas hati lagi dan sebab itu program seumpama ini diadakan selain mengeratkan hubungan agar masyarakat sentiasa mendampingi polis serta membantu menangani kegiatan jenayah di persekitaran mereka,” katanya.

Tiada ulasan: