Isnin, 13 Julai 2009

PM umum perincian KPI Nasional akhir bulan ini

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Nasional yang akan diumumkan hujung bulan ini akan melibatkan perincian mengikut bidang serta tarikh pencapaian sasaran.

Menurutnya, pengumuman itu yang akan dibuat selepas perjumpaannya dengan pegawai-pegawai kerajaan melibatkan tahap sasaran pencapaian yang dapat diterima semua pihak dan tidak terlalu tinggi sehingga tidak realistik.

''Perincian ini misalnya, kita kini berada dalam kedudukan nombor ke-40 dari segi indeks integriti global, maka mungkin kita akan letakkan sasaran untuk tingkatkan kedudukan ke tangga 30 atau 35 dalam tempoh setahun atau dua tahun.

''Dengan perincian ini seluruh tenaga kekuatan kita akan lebih terarah khususnya dalam mencapai enam bidang keberhasilan utama nasional (KRA) yang telah diumum. Contohnya, mencegah jenayah kita akan letak berapa peratus kurang dan jangka waktu berapa lama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual eksklusif sempena 100 hari pentadbiran Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 di sini malam ini.

Selepas pengumuman perincian itu, kata Najib, kerajaan akan mewujudkan satu mekanisme di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memantau pelaksanaan KPI Nasional.

Katanya, keberkesanan KPI itu bukan sahaja bakal dinilai oleh pihak kerajaan malah beliau juga akan menyerahkan kepada rakyat untuk memberi maklum balas.

''KPI Nasional ini akan memberi tekanan kepada semua anggota pentadbiran kerajaan untuk melakukan yang terbaik supaya rakyat tidak lagi melihat gagasan 1Malaysia sebagai sesuatu yang retorik semata-mata,'' jelasnya.

Dalam temu bual itu, Najib juga memberi jaminan kepentingan kaum bumiputera tidak akan diabaikan walaupun kerajaan telah melaksanakan liberalisasi terhadap 27 subsektor perkhidmatan dan juga mahu rakyat terus menguasai bahasa Melayu dan Inggeris.

Najib turut meminta rakyat membuat penilaian terhadapnya bukan semata-mata berdasarkan tempoh 100 hari kerana katanya, seseorang Perdana Menteri hanya boleh dinilai selepas satu penggal memerintah.

Tiada ulasan: