Jumaat, 3 Julai 2009

PKR minta Guan Eng timbang semula pemecatan Johari

BERNAMA


PULAU PINANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mahu kerajaan negeri menimbang semula keputusan memecat Johari Kassim sebagai Anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Zahrain Mohammed Hashim berkata Johari telah menyesali tindakannya dan sanggup berjumpa Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Kita berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakannya terhadap Johari kerana hukuman itu dilihat agak terlalu keras," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PKR negeri di sini semalam.

Pada 4 Jun lalu, Johari mengetuai lapan anggota majlis dari PKR memboikot majlis angkat sumpah presiden MPSP yang baru.Zahrain berkata dari maklumbalas yang beliau terima daripada Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman, Lim bersedia untuk berjumpa semua ahli PKR tidak lama lagi.

Mengenai isu Kampung Buah Pala, Zahrain meminta Lim untuk bertemu dan mendengar aduan penduduk sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya lebih suka melihat Lim bertemu sendiri dengan rakyat dan tidak mengarahkan anggota exco atau wakilnya untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Dilaporkan bahawa Persatuan Penduduk kampung tersebut telah meminta Lim untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri kerana gagal berkhidmat dan membantu rakyat.

Penduduk kampung tersebut selama ini menghadapi masalah untuk menyelamatkan kampung mereka yang turut dikenali sebagai perkampungan ternakan lembu atau "High Chaparral" daripada dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Tiada ulasan: