Jumaat, 31 Julai 2009

Pilihan raya kecil ke-3 di Permatang Pauh sejak Ogos 2008

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bahagian pilihan raya Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang bakal menyaksikan pilihan raya kecil buat kali ketiga dalam tempoh setahun sejak Ogos lalu.

Pilihan raya kecil terbaru membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman dari PAS.

Tarikhnya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menjelang 10 Ogos ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Kematian Hamdan membawa kepada pilihan raya kecil yang kelapan sejak Mac 2008.

Bahagian Permatang Pauh terdiri daripada tiga kerusi DUN iaitu Permatang Pasir yang dimenangi PAS pada Mac 2008; Penanti (PKR) dan Seberang Jaya (Barisan Nasional).

Pada Ogos 2008, pilihan raya kecil membabitkan kerusi Parlimen dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Ia dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR. Kerusi itu dimenangi Dr. Wan Azizah sejak tahun 1999.

Pada Jun lalu, pilihan raya kecil diadakan membabitkan kerusi DUN Penanti ekoran keputusan Fairus Khairuddin melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Hamdan yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999 erupakan satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang.

Pada pilihan raya umum ke-12, Hamdan menewaskan calon Umno daripada Barisan Nasional Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pagi tadi kerana sakit jantung.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir selepas Asar.

Tiada ulasan: