Isnin, 6 Julai 2009

PGA kesan kegiatan penyeludupan mercun di Kelantan menjelang musim perayaan

BERNAMA


TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) percaya kegiatan penyeludupan mercun menjelang musim perayaan sudah bermula berikutan tiga kes rampasan barangan itu barubaru ini yang mencecah RM10,000.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 8, Supt Rosslan Radzi berkata dalam kes terbaru semalam, pelbagai jenis bunga api dan mercun dianggarkan bernilai RM2,500 dirampas di kawasan Pasar Mundok, Pasir Mas.

Beliau berkata pihaknya percaya mercun berkenaan hanya untuk pasaran tempatan dan tidak menolak kegiatan penyeludupan mercun akan meningkat memandangkan sambutan bulan Ramadhan dan Aidilfitri semakin hampir.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menumpaskan cubaan menyeludup 2,424 kilogram daging ayam beku dianggarkan bernilai RM20,000 semasa membuat rondaan di kampung Meranti, Pasir Mas awal pagi ini.

Sepasukan anggota PGA yang meronda di kawasan itu telah terserempak dengan sebuah van dalam keadaan mencurigakan lalu mengekori tetapi, penyeludup yang menyedari kehadiran PGA memecut kenderaan itu ke sebuah kilang lama sebelum melarikan diri, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rooslan berkata hasil pemeriksaan terhadap van berkenaan mendapati ia mengandungi 101 kotak daging ayam beku dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

"Ayam ini akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: