Jumaat, 3 Julai 2009

Pesta Buku Selangor 2009 bermula 24 Julai hingga 3 Ogos

TV SELANGOR


Kerajaan negeri Selangor bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan mengajurkan Pesta Buku Negeri Selangor kali keempat, tahun ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata ia selaras dengan pelan tindakan kerajaan negeri untuk membina insan yang berilmu dan berkualiti.

Katanya, penganjuran itu juga meletakkan Selangor sebagai “Hub Ilmuan atau Hub Pendidikan”.

“Pesta buku kali ini merupakan antara program yang amat penting dalam kalendar kerajaan negeri Selangor kerana ia merupakan salah satu agenda ke arah pembangunan modal insan yang berkualiti untuk membina rakyat yang berilmu,” katanya.

Dr Halimah berkata demikian ketika berucap melancarkan Pesta Buku Selangor 2009 di Hotel Bluewave, Shah Alam.

Pesta Buku Selangor kali ini akan diadakan selama 11 hari bermula 24 Julai ini di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Dr. Halimah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata, budaya membaca perlu terus diterapkan kepada semua golongan masyarakat, bukan sahaja untuk santapan minda, malah menjadi ejen perubahan kepada sikap, hati dan minda seseorang.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Mastura Muhamad berkata, tahun lalu lebih 90 ribu pengunjung telah menjadikan Bandaraya Shah Alam sebagai lokasi pertemuan ilmuwan mendapatkan bahan bacaan.

Sambutan menggalakkan itu, sekaligus menolak dakwaan bhawa kegawatan ekonomi menjejaskan industri bahan bacaan di negara ini.

“Sekiranya ada yang mengatakan ekonomi meleset sekarang ini memberi kesan kepada ibu bapa untuk membeli buku anak-anak dan mereka sendiri, itu tidak benar.

“Ini kerana daripada yang kita lihat daripada pesta buku antarabangsa yang lalu, kenaikan pembelian buku adalah sebanyak 300 peratus kerana inilah masa mereka untuk menambah ilmu untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi dan mencari panduan-panduan motivasi," katanya.

Tiada ulasan: