Jumaat, 17 Julai 2009

Pertarungan Tuntut Bukti Bermula, Anwar Sakit Dibawa Keluar

SUARA KEADILAN


Pertarungan antara Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia menuntut supaya pendakwaraya menyerahkan bukti-bukti penting kepada pasukan pembelaan bermula dengan peguam Edmund Bon mengetuai pasukan pembelaan.

Dalam penghujahan beliau di hadapan Hakim Zabidin Md Diah, Edmund berkata kerajaan telah berlaku salah kerana pihak pendakwaraya harus menyerahkan bukti-bukti itu tiga minggu sebelum perbicaraan bermula, bukan semasa perbicaraan berlangsung.

Edmund berkata pihak pendakwaraya tidak perlu berdolak-dalik lagi kerana pasukan pembelaan menuntut bukti-bukti yang spesifik seperti sedutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, akuan saksi dan laporan perubatan.

Bahkan, pihak pendakwaraya tetap tidak mengendahkan amalan perbicaraan kerana sehingga ke hari mereka tidak mengumumkan senarai saksi dalam perbicaraan Anwar.

Edmund menambah sekiranya hakim menolak tuntutan undang-undang supaya pihak pendakwaraya mendedahkan semua bukti dan saksi di tangan mereka, pihak pendakwaraya tidak boleh membawa masuk bukti yang tidak diserahkan dalam masa tiga minggu sebelum perbicaraan.

Peguam Amer Hamzah Arshad kemudiannya mengambil-alih dan mengemukakan tuntutan keatas nota pakar kimia kepada mahkamah.

“Pihak pembelaan perlukan nota pakar kimia keatas DNA untuk menentukan metodologi kajian dan kesimpulan kajian, bagi memastikan perbicaraan yang adil,” tegas Amer.

Amer Hamzah menyorot perhatian mahkamah kepada perilaku jahat pendakwaraya dalam kes Liwat I: pihak pendakwaraya menyembunyikan laporan perubatan yang melaporkan bahawa Sukma Darmawan tidak mempunyai kesan tusukan pada dubur.

Pada ketika ini Anwar mengadu kesakitan, dan beliau dibawa keluar dari mahkamah.

Pihak pendakwaraya berkata pasukan pembelaan tidak berhak kepada sampel dan sisipan darah.

Tiada ulasan: