Selasa, 14 Julai 2009

Penyokong PAS ditahan polis, disyaki cederakan Puteri

MALAYSIA KINI


Seorang penyokong PAS ditahan polis setelah disyaki terbabit dalam insiden membaling batu ke arah penyokong BN sehingga mencederakan dua anggota Puteri Umno di SK Peria hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengahari ketika penyokong kedua-dua parti berkumpul di tempat pengundian itu dan satu provokasi telah dilakukan oleh penyokong-penyokong PAS sehingga mencetuskan ketegangan, lapor Bernama.

"Sedikit pertelingkahan antara penyokong-penyokong PAS berlaku dengan penyokong BN sehingga mencetuskan kejadian membaling batu.

"Akibat kejadian itu dua ahli Puteri Umno cedera (bengkak) di pinggang, manakala seorang lagi patah giginya akibat terkena balingan batu," katanya dalam satu sidang media di Markas Taktikal (Martek) di Laloh.

Berikutan kejadian itu, katanya, polis telah menahan seorang lelaki di
tempat kejadian yang merupakan penyokong PAS dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Musa berkata kedua-dua mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut. Berikutan itu satu laporan polis telah dibuat.

"Kita memberi jaminan tindakan mahkamah akan diambil dengan segera," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sikap penyokong PAS yang mengibarkan bendera pada kenderaan mereka, Musa berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi supaya mengenakan tindakan saman terhadap mereka yang berkenaan.

Katanya tindakan mereka itu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, selain diri sendiri kerana bendera bersaiz besar yang dipasang pada kenderaan boleh menghalang penglihatan pemandu.

"Tindakan mengibar bendera itu juga boleh mencetuskan provokasi kepada penyokong parti lain dan boleh menyebabkan ketegangan sehingga berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Bagaimanapun, Musa berkata secara keseluruhan perjalanan proses pengundian di kawasan DUN itu berjalan lancar.

Tiada ulasan: