Ahad, 12 Julai 2009

Penduduk miskin didedah ICT

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SHAH ALAM: Kira-kira 15,000 penduduk berpendapatan rendah di sekitar kawasan Subang dekat sini, berpeluang meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan bayaran bulanan serendah RM10.

Kemudahan itu disediakan Pusat ICT Pangsapuri Sri Murni di Seksyen U5 di sini, yang berharga RM50,000 yang diwujudkan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd dan Yayasan Salam Malaysia (Salam).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Salam, Mohd Ghani Ibrahim, berkata Pusat ICT yang kelapan ditubuhkan itu sejak projek berkenaan dimulakan di seluruh negara pada 2007, bertujuan merapatkan jurang digital masyarakat bandar dan luar bandar.

“Projek ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran ICT kepada semua masyarakat kerana teknologi ini mempengaruhi kehidupan seharian kita,” katanya selepas majlis perasmian Pusat ICT Pangsapuri Sri Murni.

Pusat ICT itu dirasmikan Pengarah Urusan Philip Morris (Malaysia), Richard Morgan.

Mohd Ghani berkata, Pusat ICT itu dibekalkan dengan 10 komputer menggunakan perisian Microsoft selain kemudahan internet dan mesin pencetak. Peserta program itu turut diberikan sijil yang diiktiraf selepas tamat kursus.

“Sejak program ini diwujudkan dua tahun lalu, seramai 1,774 rakyat Malaysia sudah meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang ICT,” katanya.

Morgan pula berkata, golongan muda perlu menggunakan kemudahan dan peluang yang ada bagi meningkatkan kemahiran ICT untuk membina masa depan lebih gemilang serta menjayakan misi Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Tiada ulasan: