Isnin, 27 Julai 2009

Pemuda UMNO negeri lapor SPRM

Oleh NOR SEDEK ISMAIL


SHAH ALAM - Pemuda UMNO Selangor hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri itu melibatkan seorang Exco oleh sebuah laman blog baru-baru ini.

Laman blog http://www.t4tbh.blogspot.com itu mendakwa penglibatan Exco tersebut ada kaitan dengan kematian Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di tingkat lima Plaza Masalam Seksyen 9 di sini, 16 Julai lalu.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Suhaimi Mohd. Ghazali berkata, perkara itu selaras dengan siasatan SPRM terhadap dua Exco Selangor dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini didakwa terlibat dalam kes salah guna peruntukan kerajaan negeri.

"Semua siasatan kes ini perlu diteruskan dan tidak harus dihentikan ekoran kematian Beng Hock yang juga Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu.

"Kebenaran di sebalik penyelewengan itu harus dibongkar agar semua pihak dapat mengetahui perkara sebenar.

"Saya percaya walaupun parti pembangkang cuba mengalihkan pandangan tetapi rakyat perlu tahu, jika ada penyelewengan ia harus didedahkan dan kalau ada salah guna kuasa, siapa yang terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Suhaimi yang hadir bersama 15 ahli Pemuda UMNO Selangor di pejabat SPRM di tingkat 14, bangunan tersebut turut membawa salinan dokumen daripada laman blog T4TBH yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan wang kerajaan negeri itu.

Laman blog tersebut antara lain mendakwa berlaku penyelewengan 300 projek kecil bernilai ratusan ribu ringgit di kawasan DUN Exco yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kematian Beng Hock.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Jaafar Mahad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Suhaimi menambah, SPRM juga perlu meneruskan siasatan berhubung dakwaan wujudnya kegiatan kongsi gelap sebagaimana dilaporkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menerusi laman blognya baru-baru ini.

"Siasatan itu juga penting kerana kita mahu tahu siapa yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap ini," ujarnya.

Beng Hock, saksi kes penyalahgunaan wang kerajaan negeri yang dikatakan melibatkan Exco Selangor iaitu Ean Yong Hian Wah dan Teresa Kok ditemui mati selepas 10 jam disiasat SPRM.

Lima lagi ADUN turut disiasat ialah Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan), Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya), Dr. Cheah Wing Wah (DAP-Damansara Utama), Edward Lee (DAP-Bukit Gasing) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku).

Tiada ulasan: