Ahad, 19 Julai 2009

Pemuda suka ISA dipinda

UTUSAN ONLINE


KULIM - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia lebih suka Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda dan bukan dimansuhkan, kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pemansuhan akta itu hanyalah satu pilihan tetapi membuat pindaan supaya tiada ruang bagi pihak-pihak tertentu menyalahgunakan kuasa untuk tujuan politik adalah lebih baik.

"Apa saja akta bagi menggantikan ISA hendaklah bertujuan menjaga keselamatan negara dan menghapuskannya pada masa ini tidak wajar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu di sini, hari ini.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi semalam mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan atau meminda ISA.

Khairy memberi contoh dalam konteks membendung antikeganasan, ISA masih relevan kerana ada negara yang melaksanakan undang-undang antikeganasan mengguna pakai akta yang tiada beza dengan ISA.

" Contoh lain ialah mengurangkan tempoh tahanan dari 60 hari kepada 45 atau 30 hari sahaja dan selepas ditahan selama dua tahun, kajian semula yang lebih telus lagi hendaklah dibuat," tambahnya.

Mengenai Pemuda UMNO, Khairy mahu anggota pergerakan itu supaya lebih fokus ke arah pilihan raya dengan mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Katanya, angin perubahan di kalangan rakyat semakin berpihak kepada Barisan Nasional (BN) terutama golongan muda seperti yang ditunjukkan mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai Selasa lepas.

Beliau bagi pihak Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan takziah dan simpati kepada rakyat Indonesia serta mangsa-mangsa warganegara yang terkorban dan tercedera dalam tragedi pengeboman di dua hotel di Jakarta, Ritz Carlton dan JW Marriot dua hari lepas.

Katanya rakyat Malaysia perlu berwaspada, kerana kemungkinan suspek yang melakukan keganasan itu adalah anggota Jemaah Islamiah yang mempunyai keanggotaan di seluruh rantau Asia Tenggara bagi mempastikan ancaman itu tidak merebak ke negara ini. - Bernama

1 ulasan:

Ben@Benjamin berkata...

macam tu lahh KJ, kerja dia dok pembohong kat orang-orang kampong, sekali ni orang-orang Kulim pula kena ranjau...