Jumaat, 3 Julai 2009

Pemuda PAS ugut buat aduan polis

Muda Mohd Noor


Pemuda PAS Gua Musang akan membuat laporan polis jika ada pihak yang memperalatkan namanya untuk menyebarkan dakyah memburuk-burukkan calon pilihanraya kecil Manek Urai, termasuk BN.

Seorang pemimpin dewan itu berkata, pihaknya sedang mengesan mereka yang mendakwa "skuad risik khas (SRK) Pemuda PAS Gua Musang" yang akan mendedahkan pembohongan oleh calon BN Tuan Aziz Tuan Mat.

"Setahu saya, kita tidak pernah menubuhkan SRK, malah nama unit itu sendiri telah menimbulkan keraguan kerana dalam PAS biasanya kita menggunakan nama lajnah.

"Saya bimbang ada orang yang menyamar menggunakan nama SRK," katanya ketika diminta mengulas emel mengenai skuad tersebut.

Emel tersebut berbunyi:

"Di sini kami Skuad Risik Khas (SRK) Dewan Pemuda ingin menegaskan bahawa calon pilihanraya N41 Manek Urai dari BN telah membuat satu penipuan besar kepada seluruh negara.

"Pihak SRK-DP Gua Musang telah menjalankan satu siasatan rapi mengenai calon BN ini dan kami akan membongkarkan perkara ini satu persatu sehingga ke hari pembuangan undi 14 Julai 2009.

"Pemergian Tuan Aziz ke Kampuchea pada 2007 untuk memberi pendedahan dan pengalaman malah beliau membawa bersama seorang jurutera projek perumahan yang sama sekali tiada kaitan dengan pemasaran minyak masak. Masakan jurutera sivil boleh menjual minyak masak.

"Pihak kami telah bersedia dengan 'peluru-peluru' dan 'bom-bom' untuk meletupkan Umno."

Pemimpin Pemuda PAS kawasan itu yang enggan mendedahkan namanya berkata lagi, beliau telah merujuk beberapa ahli jawatankuasa (AJK) dewan itu mengenai SRK tetapi mereka tidak tahu mengenai perkara tersebut.

"Selepas ini saya akan bertanyakan perkara itu kepada unit teknologi maklumat untuk bertanyakan adakah mereka yang membuat emel tersebut.

"Setahu saya hanya empat atau lima orang AJK sahaja yang tahu mengenai teknologi maklumat.

"Kita hendak siasat siapa yang membuat emel tersebut," katanya lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujud ahli atau AJK Pemuda PAS sendiri yang menghantar emel tersebut kerana "tidak berpuas hati dalam sesuatu perkara" dan juga ingin "membocorkan rahsia PAS kepada orang luar".

Bagaimanapun sumber itu tidak menjelaskan perkara-perkara tersebut.

"Tetapi boleh jadi juga ia dilakukan oleh orang Umno tetapi menyamar menggunakan nama Pemuda PAS," tambahnya.

"Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi biarlah saya menyiasat kebenaran emel itu dahulu."

Semalam Tuan Aziz memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak bercadang membuat laporan polis terhadap mereka yang membuat dakwaan buruk terhadapnya.

Ketua Pemuda Umno Kuala Krai itu menyifatkannya perbuatan memburuk-burukkan calon BN sebagai "satu permainan semasa pilihanraya".

Tiada ulasan: