Jumaat, 10 Julai 2009

Pemuda PAS Perak bersama polis, banteras jenayah

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) akan berusaha memberikan kerjasama dengan pihak polis untuk membanteras dan membasmi kejadian jenayah yang telah meningkat sepanjang enam bulan pertama tahun ini di negeri Perak.

Setiausahanya Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata kadar jenayah di Perak meningkat kesan daripada kemelesetan ekonomi yang mana memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan kesejahteraan dan keharmonian dapat dikekalkan.

"Kita akan membantu pihak Polis serta akan menyalurkan maklumat jenayah yang diperlukan.

"Ini bagi memastikan sasaran untuk enam bulan kedua tahun ini adalah untuk terus mengurangkan kadar jenayah di Perak," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Pihaknya akan mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) seluruh negeri Perak untuk memberikan kerjasama kepada pihak Polis atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga komuniti masyarakat yang memberikan fokus kearah membanteras jenayah dapat diusahakan, kata Raja Ahmad.

"Kita akan mengadakan pertemuan dengan pihak Polis Perak untuk membincangkan ruang-ruang yang boleh digunakan untuk membanteras jenayah di Perak," katanya. - azm

Tiada ulasan: