Selasa, 21 Julai 2009

Pelagak ngeri dikhuatiri lemas

Oleh Sarah Zulkifli


SERI KEMBANGAN: Seorang pelakon lagak ngeri sebuah filem Bollywood yang sedang menjalani penggambaran di ibu kota dikhuatiri lemas di Tasik Mines berhampiran sebuah hotel di Jalan Balakong di sini, petang semalam.

Difahamkan dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Kong Chai Ming, 39, dari Seri Petaling di sini, melakonkan satu aksi babak tembak menembak dan terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

Bagaimanapun, pelakon itu tidak timbul dari tasik terbabit selepas beberapa minit menyebabkan kru produksi filem mula bimbang sebelum mencarinya di tasik berkenaan.

Namun, Kong tidak timbul juga menyebabkan mereka menghubungi pihak berkuasa bagi operasi mencari dan menyelamat.

Rakan mangsa yang juga pelakon lagak ngeri yang enggan dikenali berkata, Kong melakonkan aksi terjatuh ke dalam tasik selepas ditembak di bahagian dada bagi filem Bollywood berkenaan.

“Bagaimanapun, saya mula risau apabila dia (mangsa) tidak timbul dari tasik itu seperti yang sepatutnya.

“Selepas usaha mencarinya di tempat dia jatuh itu gagal, kami segera menghubungi pihak keselamatan hotel dan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, sehingga jam 11 malam tadi, anggota bomba masih belum menemui Kong.

Tiada ulasan: