Jumaat, 24 Julai 2009

Pejabat Pembangunan Negeri Berasingan Bazirkan Duit Rakyat

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


SHAH ALAM - Tindakan kerajaan Barisan Nasional mewujudkan pejabat pembangunan negeri yang berasingan, jelas membelakangkan konsep persekutuan dan perkhidmatan awam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kedegilan Barisan Nasional ini juga dilihat sebagai satu pembaziran wang rakyat selaku pembayar cukai.

“Ini akan membelakangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh perkhidmatan awam. Perkhidmatan Awam adalah satu perkhidmatan yang bebas dari politik. Oleh sebab itu, dia tidak boleh dilakukan secara berasing, sebab mereka ini ditugaskan sebagai pemegang amanah duit pembayar cukai untuk membawa pembangunan dalam negeri secara efisien, maknanya lebih cekap, amanah dan tidak membazir. Kalau kita ada dua pejabat maknanya lebih baik ada satu pejabat, sebab pembazirannya ialah membiayai satu pejabat yang lebih”, kata Tan Sri Abdul Khalid.

Demikian, kata Tan Sri Khalid ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz , Shah Alam, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Noh Omar ketika menyampaikan sumbangan JAKIM kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, pejabat yang diwujudkan itu, dibiayai sendiri kerajaan pusat.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Pembangunan Negeri Selangor (ICU) berkata, Kerajaan Pusat juga sudah melantik lima pegawai daerah untuk mengagih-agihkan peruntukan pembangunan di daerah terbabit.

Justeru, Tan Sri Khalid menyifatkan pemimpin kerajaan pusat tidak memahami maksud sebenar federalisme yang diamalkan di negara ini.

“Peruntukan negeri dan peruntukan federal adalah duit cukai rakyat, ada setengah orang kurang faham, sebab dalam federalisme, bahawa tanggungjawab mengutip cukai adalah tanggungjawab kerajaan federal, dan adalah tanggungjawab kerajaan federal untuk mengagihkan duit-duit cukai itu melalui pentadbiran negeri, jadi oleh sebab itu ada setengah orang mungkin tak faham tentang cara itu, kalau tak faham kita fahamkan supaya besok kewujudan persekutuan ini akan lebih mantap lagi”, jelas Tan Sri Abdul Khalid lagi.

Tan Sri Khalid berkata, beliau bakal menemui Sultan Selangor bagi mendapatkan pandangan baginda mengenai pertindihan pentadbiran yang berlaku sekarang.

“Itu saya akan bincangkan dengan Tuanku Sultan juga dan kita mungkin bincangkan dari segi pentadbiran ini. Perkara ini pernah dilakukan di Sabah dan akhirnya rakyat Sabah berasa ini tidak memberikan keuntungan kepada Sabah. Saya ingat kalau kerajaan persekutuan lakukan di Sarawak, boleh jadi rakyat Sarawak tidak akan memilih parti-parti dalam kerajaan persekutuan tersebut. Saya berharap saudara Noh Omar lakukan supaya rakyat Selangor tidak lagi memilih kerajaan Barisan Nasional untuk memerintah kerajaan persekutuan”, ujar Tan Sri Abdul Khalid. -

Tiada ulasan: