Jumaat, 3 Julai 2009

Peguam kurang sihat, permohonan Anwar ditunda Rabu depan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dokumen dari pihak pendakwaan berkaitan kes liwat bekas pembantunya yang sepatutnya didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditunda sehingga Rabu depan.

Ketika kes itu bermula hari ini, peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah bahawa beliau kurang sihat selepas berasa pening sejak semalam semasa kes anak guamnya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan penangguhan itu bagi membolehkan Sulaiman mendapatkan rawatan perubatan.

Dua jam selepas prosiding mahkamah itu, salah seorang peguam Anwar, S.N. Nair memberitahu media bahawa Sulaiman telah dberi cuti sakit sehingga Selesa depan.

Pada hari yang sama (8 Julai), mahkamah dijangka mendengar satu lagi permohonan Ketua Pembangkang itu untuk membatalkan tuduhan meliwat. Mahkamah juga menetapkan hari yang sama untuk mendengar perbicaraan kes liwatnya.

Kes liwat Anwar masih kekal di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan semalam menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mac lalu yang menukar keputusan Mahkamah Sesyen yang mengekalkan perbicaraan kes liwat itu di Mahkamah Sesyen.

Pada 10 Mac lalu, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, du Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Pada 10 Jun lalu, Anwar memfailkan permohonan supaya pendakwa raya membekalkan semua dokumen dan barangan berkaitan kes liwat tersebut sebelum perbicaraan penuh bermula.

Antara yang dipohon ialah rakaman asal kamera litar tertutup (CCTV) di tempat didakwa berlakunya kejadian itu di Desa Damansara Condominium, sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kenyataan saksisaksi termasuk pengadu, Mohd Saiful Bukhari dan kenyataan polis.

Tiada ulasan: