Ahad, 12 Julai 2009

Pas tidak tutup pintu - Hadi

UTUSAN ONLINE


KUALA KRAI - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Pas tidak akan menutup pintu bagi berbincang dengan UMNO dan pihak-pihak lain mengenai Islam.

Katanya, walaupun pakatan pembangkang berusaha mengukuhkan hubungan kerjasama mereka, namun perbincangan mengenainya dengan semua pihak termasuk UMNO selaku parti yang menerajui pemerintahan perlu terus dibuka.

Beliau berkata, perbincangan mengenai Islam haruslah berlandaskan tuntutan sebenar ajaran al-Quran dan hadis.

''Kita adalah satu bangsa satu agama tapi mestilah kita melaksanakan Islam dan sebab itu kita membuka pintu untuk berbincang dengan UMNO mengenai Islam berdasarkan al-Quran dan hadis.

''Supaya mana yang diucapkan dalam pakatan untuk mengukuhkan pakatan, dalam masa yang sama dibenarkan kita berbincang dengan semua pihak termasuk dengan UMNO dan kita mahu ruang ini dibuka,'' katanya kepada pemberita selepas memberikan ceramah di Kampung Chuchoh Puteri A di sini malam tadi.

Abdul Hadi diminta mengulas mengenai cabaran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pas membuktikan kenyataan mereka yang mengatakan UMNO menolak syiar Islam.

Rabu lalu sewaktu berceramah di kubu kuat Pas itu, Muhyiddin menegaskan bahawa UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada Pas dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyebut mengenai asas dan tujuan penubuhan UMNO yang antara lain menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz hari ini dilaporkan tidak berminat menjawab cabaran itu.

Abdul Hadi berkata, Pas menyambut baik untuk berbincang dengan semua pihak walaupun pada masa yang sama terikat dengan kerjasama yang ada dalam pakatan pembangkang.

''Pas menyambut untuk berbincang dengan semua pihak, pada masa yang sama kita ada rumah kita sendiri yang kita perlu ikut dengan landasan kita.

''Dalam masa yang sama kita perlu menyampaikan mesej kita kepada semua pihak dan untuk penyampaian mesej ini mestilah kita bersikap terbuka kepada semua pihak,'' ujarnya.

Tiada ulasan: