Rabu, 15 Julai 2009

Pas buat bedah siasat

BERITA HARIAN


KUALA KRAI: Pas Kelantan akan membuat bedah siasat terhadap kemerosotan majoriti yang diperoleh parti kerana hanya mampu menang dengan 65 undi berbanding majoriti 1,352 undi pada Pilihan Raya Umum 2008, kata Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa.

Beliau yang menyifatkan kemenangan dengan majoriti tipis adalah sesuatu yang luar biasa, bagaimanapun Pas bagaimanapun berterima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada parti itu untuk mewakili mereka walaupun undi tipis.

Beliau mendakwa sejak awal pihaknya menjangkakan calon Pas Mohd Fauzi Abdullah, 50, akan kalah dalam saingan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat, 39, yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Krai.

"Kita jangka dia kalah tetapi menang. Kemenangan ini adalah kekuatan yang luar biasa. Kita bangga dengan kekuatan penyokong Manek Urai yang kuat ketahanan mereka,” katanya.

Husam menolak dakwaan kemunculan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, menyebabkan kemerosotan undi yang diperoleh Mohd Fauzi.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, pula mengakui BN memberikan saingan sengit terhadap Pas dalam pilihan raya kecil kali ini sehingga menyaksikan kemenangan yang dicatatkan oleh parti itu begitu tipis.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, Pas perlu membuat bedah siasat bagi mengenal pasti punca parti itu gagal meraih kemenangan dengan majoriti yang lebih besar seperti Pilihan Raya Umum Ke-12.

Sementara itu, Mohd Fauzi menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan kepada perjuangan Islam.

"Saya berterima kasih kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis dan jentera parti yang bersama dengan saya dalam perjuangan ini.

"Saya berjanji akan berkhidmat untuk semua rakyat di seluruh Manek Urai," katanya ringkas selepas diumumkan pemenang oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N41 Manek Urai, Adnan Husin, pada jam 9.10 malam tadi.

Tiada ulasan: