Khamis, 2 Julai 2009

Pakatan Rakyat putus pendirian DAP Kedah hujung minggu

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Rakyat yang akan bermesyuarat hujung minggu ini akan membuat keputusan berhubung tindakan DAP Kedah yang mengumumkan keluar pakatan semalam.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat sekretariat Pakatan Rakyat yang dipengerusikan beliau tengah hari tadi telah menyentuh mengenai perkara itu dan akan dibincangkan di mesyuarat peringkat tertinggi parti itu.

"Dalam mesyuarat tadi, kita bincang untuk mengadakan Majlis Mesyuarat Presiden sebelum pilihan raya kecil DUN Manek Urai.

"Kita akan bincangkan tentang isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang dan DAP di Kedah.

"Hasil daripada perbincangan itu nanti akan dikemukakan kepada kedua-dua negeri itu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Semalam, DAP Kedah mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS di negeri itu yang antara lain turut bertindak merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di KampungBerjaya.

Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada DAP Kedah kekal dalam pakatan pembangkang kepada pemimpin pusat parti itu.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau telah menghubungi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Katanya, kerajaan negeri kini sedang mengambil tindakan untuk menyelesaikan perkara itu.

"Tidak timbul masalah bekalan (daging babi) seperti yang dibangkitkan kerana ada dua tiga tempat pusat penyembelihan lagi dan itu tidak menjejaskan bekalan kepada masyarakat Cina di Kedah," katanya.

Salahuddin berkata, isu itu hanyalah masalah dalam pentadbiran negeri dan ia akan diselesaikan secara politik dan pentadbiran dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Pakatan Rakyat hari ini turut mengumumkan satu jawatankuasa yang bertujuan untuk memperkasakan ahli Parlimennya ketika berbahas mengenai sesuatu Rang Undang-Undang.

Ahli Parlimen Gombak yang juga Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ketika mengumumkan berkata, setiap ahli Parlimennya diberikan tugas menjaga setiap kementerian yang sedia ada pada masa ini.

"Ini bukanlah Kabinet bayangan. Penubuhan jawatankuasa ini untuk kita tumpukan kepada urusanParlimen. Bila Pakatan Rakyat adakan pakar untuk sesebuah kementerian, bila ada rang undang-undang, setiap anggota yang diberi tanggungjawab menjaga mana-mana kementerian dapatlah berbahas dengan baik lagi.

"Kita mahu semua anggota Parlimen kita menyiapkan diri ketika berbahas. Senarai ini telah dibincang dan diperakukan oleh majlis tertinggi Pakatan Rakyat.

"Kerajaan bayangan ini diberikan gelaran oleh media sahaja, sebenarnya bukan," katanya ketika seidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mohamed Azmin berkata, jawatankuasa ini dibentuk mengikut 25 kementerian dalam kerajaan Barisan Nasional.

"Ini adalah bagi meningkatkan kualiti perbahasan dengan bersandarkan rujukan secara khusus berdasarkan kementerian masing-masing," katanya.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang diberikan tugas menjaga Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu antara mereka yang diberikan tugas yang sama ialah Mohamed Azmin, R. Sivarasa (PKR-Subang), Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak), Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok), Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) dan John Fernandez (DAP-Seremban).

Kementerian Dalam Negeri ditugaskan kepada Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), Salahuddin dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) manakala Kementerian Kewangan diberikan kepada Mohamed Azmin, Dr Dzulkifli Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) serta Kementerian Pelajaran ditugaskan kepada Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau), Che Uda Che Nik (PAS-Sik) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam).

Tiada ulasan: