Rabu, 1 Julai 2009

PAHAM, lagi parti politik ditubuh pemimpin Hindraf?

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Satu lagi parti politik baru mewakili masyarakat India negara ini bakal muncul bulan ini?

"Tunggu, kami akan membuat pengumuman penting pada 19 Julai ini," kata P. Uthayakumar, pemimpin bekas kumpulan Hindraf yang telah diharamkan tahun lalu.

Sambil tidak menafikan atau mengesahkan kemunculan Parti Hak Asasi Manusia Malaysia (PAHAM), Uthayakumar yang dibebaskan daripada tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata, satu pengumuman penting akan dibuat sama ada Hindraf Makkal Sakti akan kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan ataupun akan bergerak sebagai sebuah parti politik.

Ketika dihubungi mStar Online, beliau juga enggan menyatakan sama ada pihaknya sudah mengemukakan permohonan menubuhkan PAHAM kepada Pendaftar Pertubuhan."Kami akan membuat pengumuman pada 19 Julai di Klang," katanya.

Selain itu, Uthayakumar, salah seorang daripada lima pemimpin Hindraf yang ditahan di Kamunting juga memberitahu "kami akan mengumumkan pelan masa depan gerakan kami pada hari itu."

"Segala pelan dan tindakan kami selepas ini akan berlandaskan undang-undang, sah, demokratik dan mengikut Perlembagaan negara," katanya.

"Kedua-duanya (keputusan 19 Julai ini) merupakan keputusan penting yang saya buat sepanjang tahanan saya selama 514 hari di Kamunting," katanya.

Pada akhir Mei lalu, salah seorang penyelaras Hindraf, R.S. Thanenthiran menubuhkan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP).

Penubuhan parti itu akan dilancarkan bulan ini.

Tiada ulasan: