Isnin, 6 Julai 2009

Nube bawa EON Bank ke Mahkamah Perusahaan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) sudah menfail aduan mengenai ketidakpatuhan terhadap perjanjian bersama oleh pengurusan EON Bank Berhad kepada Mahkamah Perusahaan, kata Setiausaha Agung kesatuan itu J.Solomon.

Beliau berkata lebih 2,000 pekerja EON Bank tidak menerima elaun makan dan kerja lebih masa yang penuh disebabkan ketidakpatuhan terhadap perjanjian bersama oleh pengurusan bank itu.

"Secara purata setiap pekerja ini akan kehilangan antara RM200 dan RM300," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya di bawah klausa 40 perjanjian bersama itu, berkuatkuasa dari 1 Januari 2006 hingga 31 Ogos 2008, para pekerja itu berhak terhadap elaunelaun berkenaan dikira dari tarikh 1 Januari 2006.

Menurutnya bank itu bagaimanapun memutuskan untuk mengira bayaranbayaran itu dari tarikh 21 Jun 2008, iaitu tarikh di mana perjanjian ditandatangani, sekaligus dengan jelas ia tidak mematuhi perjanjian itu.

Merujuk kepada satu lagi pertelingkahan antara Nube dan bank itu yang berkaitan pemindahan anggotanya dari cawangan Melaka ke cawangan Johor Baharu, Solomon berkata pemindahan pekerja itu sudah ditangguhkan.

Menurutnya perkara itu dicapai menerusi campur tangan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang meminta bank itu mencari jalan penyelesaian secara aman bagi memastikan pemindahan itu tidak menyusahkan pekerjapekerja yang sudah berkeluarga.

Tiada ulasan: