Ahad, 5 Julai 2009

Nicole Kidman dakwa 'air ajaib' bantu mengandung

Wanita seluruh dunia berebut dapatkan bekalan

Agensi


CANBERRA: Air di beberapa anak sungai di pedalaman Australia mendapat permintaan tinggi selepas aktres Nicole Kidman mendakwa ia membantunya dan beberapa wanita lain hamil.

Ketika merakamkan penggambaran filem Australia arahan Baz Luhrmann pada 2007, Kidman dan anggota krew berendam dalam anak sungai dan liang air di dan sekitar bandar Kununurra yang terletak di pedalaman negara itu.

Beberapa minggu kemudian, Kidman yang mempunyai dua anak angkat dengan bekas suaminya, pelakon Tom Cruise, mendapati beliau hamil anak pertamanya, Sunday Rose. Enam lagi krew wanita yang terbabit dalam penggambaran filem itu turut hamil.

Berikutan kelahiran Sunday Rose tahun lalu, anak pertama Kidman dengan suaminya, Keith Urban, aktres berkenaan berkata air di Kununurra bertanggungjawab di atas kehamilan itu.

"Ada sesuatu dalam air Kununurra," katanya ketika itu.

Penduduk asli Australia juga percaya ia mempunyai kuasa ajaib. Kini wanita di seluruh dunia yang terdesak mahukan anak berebut-rebut mendapatkan berbotol-botol air di kawasan itu.

Malah merayu kepada pegawai pelancongan supaya menghantar air berkenaan kepada mereka.

Pegawai, bagaimanapun berkata mereka tidak boleh mengepos air sebaliknya meminta wanita berkenaan melawat sendiri bandar itu.

"Kami cuba memujuk wanita yang mahukan anak ini kerana tidak boleh menghantar air yang dimaksudkan berikutan kesukaran mengumpul dan mengangkutnya.

"Sebaliknya kami menggalakkan mereka ke sini untuk berenang jika itu yang mereka mahukan," kata jurucakap agensi pelancongan.

Tiada ulasan: