Selasa, 7 Julai 2009

Muhyiddin: Nasib malang BN berakhir di Manek Urai...

Hafiz Yatim


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pilihanraya kecil DUN Manek Urai 14 Julai ini menandakan berakhirnya "nasib malang" BN dalam pilihanraya kecil selama ini.

Inilah mesej yang disampaikan beliau yang juga timbalan presiden Umno, dalam satu mesyuarat tertutup semalam, demikian menurut pemimpin parti yang menghadirinya.

"Rakyat berkata Umno dan BN sudah mati selepas kalah dalam pilihanraya kecil sebelum ini. Semuanya berakhir di sini. Kita mahu menang pilihanraya kecil kali ini," kata Muhyiddin dalam mesyuarat tersebut.

Daripada tujuh pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, BN hanya menang di Batang Ai, Sarawak.

BN tewas di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Dan Mei lalu, BN memutuskan tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti yang merupakan kubu kuat Pakatan Rakyat.

'Gandakan usaha'

Menurut pemimpin parti tersebut, Muhyiddin turut menegur pekerja parti itu yang lambat tiba sebelum BN berarak ke pusat penamaan calon semalam.

Muhyiddin mengetuai perarakan mengiringi calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat semalam. Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari PAS, Ismail Yaakob.

Muhyiddin juga mahu pemimpin semua sayap Umno supaya menggandakan usaha mereka bagi memastikan peningkatan sokongan kepada calon BN.

"Kita tidak seharusnya bertumpu berkempen di kubu kuat Umno sahaja, tetapi juga di kubu kuat PAS bagi memenangi hati rakyat," katanya.

Muhyiddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan slogan 'Rakyat Didahulukan, Manek Urai Diutamakan' untuk menarik sokongan pengundi.

Tiada ulasan: