Jumaat, 3 Julai 2009

MISTERI TERBONGKAR

UTUSAN ONLINE


RAIS Yatim menunjukkan sebatang pen bersalut emas yang merupakan sebahagian barang kemas peninggalan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam peti besi misteri di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 2 Julai – Misteri peti besi milik Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj akhirnya terbongkar setelah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memutuskan untuk membukanya secara rasmi hari ini.

Setelah mengambil masa kira-kira 30 minit, peti seberat 400 paun yang berada di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra sejak tahun 1994 itu akhirnya berjaya dibuka dengan bantuan sekumpulan pakar kunci besi.

Peti besi yang tidak diketahui kombinasi nombor keselamatannya itu bagaimanapun hanya mengandungi sebahagian barang-barang peribadi peninggalan Tunku merangkumi sembilan kotak yang berisi kira-kira 30 artifak dan barang kemas.

Artifak tersebut merangkumi butang baju lama, jam dan medal yang tertulis ‘Persatuan Menembak Kebangsaan 1970’, manakala barang kemas pula seperti pen bersalut emas, syiling bergambar wajah bekas Sultan Terengganu, gunting dan beberapa bentuk emas lain.

Rais Yatim berkata, dengan terungkap misteri peti besi itu, bermakna tidak ada sebarang dokumen penting yang ditinggalkan bekas penjajah atau pihak Tunku seperti didakwa pihak-pihak tertentu.

“Oleh itu, diharap tidak ada lagi spekulasi yang mendakwa kerajaan menyimpan atau menyembunyikan sebarang dokumen penting negara mahupun peninggalan bekas penjajah.

“Semuanya telah terjawab hari ini dan tidak lagi menjadi misteri,” katanya selepas majlis pembukaan peti besi peninggalan Bapa Kemerdekaan itu di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini hari ini.

Terdahulu, seorang pengarah filem dan dokumentari, Mansor Puteh menerusi sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini mendakwa kemungkinan besar terdapat dokumen penting negara yang ditinggalkan penjajah dalam peti besi tersebut.

Beliau yang mengadakan penggambaran dokumentari bertajuk Kediaman Residen, Tunku bagaimanapun berharap kerajaan dapat mendedahkan isi kandungan sebenar peti besi yang tidak pernah dibuka sejak Tunku meninggal dunia.

Tiada ulasan: