Selasa, 7 Julai 2009

MIC mahu India ketua jabatan pengajian India di UM

MALAYSIA KINI


Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata parti itu mahu komitmen dari Universiti Malaya bahawa orang India yang akan mengetuai Jabatan Pengajian India di universiti itu.

Samy melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan keputusan universiti berkenaan untuk menggantikan Dr S Kumaran dengan bukan India bagi jawatan itu.

Katanya, MIC mahukan jaminan dari universiti bahawa ia tidak akan "membuat kesilapan yang sama" pada masa depan.

Beliau bagaimanapun berpuashati apabila Naib Canselor, Datuk Ghauth Jasmon

memberi jaminan kepada Menteri Sumber Manusia dan setiausaha agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam bahawa perkara itu akan diselesaikan secara baik.

Berikutan pelantikan bukan India untuk jawatan itu, beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan meminta pihak universiti membatalkan pelantikan itu.

Samy Vellu dalam kenyataannya berkata kaum India, ketika itu di Malaya dan Singapura, berusaha untuk menubuhkan jabatan berkenaan.

"Hari ini, jabatan itu dianggap warisan kebudayaan masyarakat India dan sebahagian daripada sejarah kami di negara ini.

"Ia melambangkan kebanggaan kami dan seumpamanya, tidak masuk akal untuk bukan India mengetuai jabatan itu," katanya.

Jika tiada penyelesaian, Samy Vellu berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengakui bahawa sebahagian masalah itu disebabkan tiada kerjasama di kalangan India dalam jabatan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa mereka, terutama ahli akademik dan pensyarah, supaya bekerjasama dan memastikan kelangsungan jabatan itu.

Tiada ulasan: