Rabu, 8 Julai 2009

Meritokrasi biasiswa ikut kategori - PM

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dasar meritokrasi bagi menentukan kelayakan pelajar cemerlang memperoleh Biasiswa Nasional akan dilakukan berdasarkan kategori berbeza.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut bagi memastikan pelajar-pelajar cemerlang tidak berkemampuan dan dari kawasan pedalaman diberi peluang mendapat biasiswa tersebut.

''Ada faktor yang kita ambil kira, meritokrasi membabitkan kategori yang macam mana, tidak semestinya yang tidak berkemampuan diketepikan.

''Pelajar yang datang dari rumah panjang ada kategori yang kita akan beri biasiswa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri anjuran Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Sri Satria di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Bakti.

Najib berkata, ukuran meritokrasi bagi para pelajar cemerlang yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkenal di luar negara diletakkan dalam kategori istimewa lain.

Langkah tersebut, kata beliau, bagi memastikan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya dapat dilaksanakan.

''Ini penting bagi membawa negara ke tahap pendekatan yang mengutamakan budaya prestasi tinggi.

''Dengan itu kita boleh membawa negara ke tahap yang lebih berjaya,"katanya.

Tiada ulasan: