Selasa, 14 Julai 2009

Manek Urai: Mungkinkah ada kejutan hari ini?

Jimadie Shah Othman & Hafiz Yatim


Kesesakan di Manek Urai sepanjang tempoh berkempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai, sampai ke kemuncaknya hari apabila lebih 12,000 pemilih yang layak, keluar mengundi mulai jam 8 pagi hingga 5 petang ini untuk memilih wakil rakyat mereka - Tuan Aziz Tuan Man dari BN atau Mohd Fauzi Abdullah dari PAS.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjangka keputusan pilihanraya kecil hari ini dapat diketahui seawal jam 8 malam.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR tidak
menjangka sebarang masalah untuk mengumumkan keputusan awal berdasarkan kawasan DUN itu yang kecil.

Beliau berkata, sasaran SPR ialah lebih 85 peratus daripada 12,293 pengundi akan mengundi hari ini kerana 90 peratus daripada pengundi adalah petani, penoreh getah, nelayan dan tidak tertakluk kepada hari bekerja.

Manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga telah mengumumkan hari ini sebagai cuti am untuk membolehkan pemilih keluar pengundi.

Sepanjang tempoh lapan hari berkempen, BN dilihat menggunakan isu latar belakang pendidikan dan karier calon PAS yang lebih dikenali sebagai Abe Uji - seorang pemborong ikan.

Manakala calon BN, Tuan Aziz pula merupakan lulusan ijazah pengurusan teknologi daripada Universiti Utara Malaysia.

Isu memperlekehkan latarbelakang Abe Uji itu telah mencetus rasa tidak puas hati di kalangan peraih dan peniaga ikan di Kelantan dengan mengadakan bantahan di Manek Urai Jumaat lalu.

Di samping itu, BN juga menjadikan isu pembangunan sebagai taruhan utamanya, antaranya menjadikan Manek Urai anak emas kerajaan pusat, menjadikannnya sebagai kota agropolitan serta membina beberapa kemudahan baru - termasuk jambatan baru dua lorong di Manek Urai Lama, sekolah kebangsaan di Chuchoh Puteri dan masjid baru di Temalir.

Oleh kerana faktor agama memainkan peranan penting di sini, BN juga cuba menyampaikan mesej kempennya bahawa pembangunan dan kemajuan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama, bukan sekadar kejayaan di akhirat semata-mata.

BN turut mengadakan ajlis solat hajat di semua sembilan peti undi di Manik Urai malam tadi di bilik operasi BN di Sungai Sok Luar, Manik Urai, yang disertai kira-kira 200 jemaah, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno, memohon kemenangan calonnya.

Dalam kempennya, BN juga menggunakan isu kerajaan perpaduan, dengan cuba "melaga-lagakan" antara Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, dengan Mursyidul Amnya, Nik Aziz. Ini tergambar melalui risalah harian mereka Suara Manek Urai yang diterbitkan secara harian.

Sementara PAS pula menyentuh isu penyalahgunaan jentera dan kakitangan kerajaan, antaranya penggunaan helikopter oleh Muhyiddin semasa berkempen. Isu tuntutan royalti minyak Kelantan berjumlah RM1 bilion yang diketengahkan oleh exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, juga dilihat berkesan.

Hari ini, PAS mengeluarkan risalah khas isu royalti tersebut, bertajuk "Fakta Sebenar Minyak Kelantan" yang menggunakan hujah ilmiah dan penuh. Menariknya, risalah itu dicetak menggunakan keseluruhannya dakwat biru, seperti kelaziman dalam cetakan BN.

Jika isu pembangunan menjadi penentu kemenangan calon masing-masing, maka pengundi Manek Urai perlu membuat pilihan antara royalti minyak yang diperjuangkan PAS atau pembangunan insfrastuktur BN yang dijanjikan segera, sejurus selepas kemenangan dicapai esok.

Isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan rumah mewah bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo, terus dimainkan dari masa ke semasa dalam kempennya.

Tiada ulasan: