Rabu, 8 Julai 2009

Mana perginya RM254 bilion?

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - PAS mendesak satu kertas putih dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak di Parlimen pada sesi depan berhubung dakwaan Tun Mahathir Mohamad yang persoalkan ke mana dibelanjakan wang sebanyak RM254 bilion yang dibayar oleh Petronas sejak enam tahun lalu kepada kerajaan persekutuan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata ia perlu dibuat supaya duit Petronas tersebut dapat dibentang dan dikenal pasti kegunaannya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, jika Najib gagal membentangnya bermakna apa yang didakwa oleh Tun Mahathir itu merupakan satu penyelewengan besar yang dilakukan kerajaan BN.

"Saya minta satu kertas putih dibentang untuk diberitahu kepada rakyat duit sebanyak itu digunakan untuk apa," katanya semasa dihubung baru-baru ini.

Sebelum ini, dalam blog Tun Mahathir pada 3 Julai lalu beliau menegaskan kerajaan menerima bayaran daripada Petronas bermula tahun 1976 sebanyak RM300 juta. Meningkat pula pada tahun 1981 sebanyak RM2 bilion.

Katanya, sepanjang 22 tahun pemerintahan jumlah yang terkumpul sebanyak RM1688 bilion.

Apabila beliau bersara pula dakwanya jumlah meningkat daripada RM19 bilion pada tahun 2004 kepada RM67.8 bilion pada tahun pada 2009.Ini katanya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM253.6 bilion.

Menurut Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian disebab sepanjang tempoh enam tahun lalu Najib menjadi orang nombor dua di negara ini. Jadi dakwanya, pasti Najib tahu apa yang berlaku ke atas duit dari Petronas itu.

Oleh kerana itu katanya, beliau mencabar Najib untuk bentangkan kertas putih di perlimen. Ini katanya, sebagai perdana menteri, Najib perlu bertanggungjawab di atas apa yang didedahkan oleh Tun Mahathir.

Dalam pada itu katanya, beliau juga akan membuat satu memorundum dan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Aduan tersebut ujarnya, berkemungkinan akan dibuat selepas pilihan raya kecil Manek Urai nanti.

Ini tegasnya, jika beliau bimbang duit sebanyak itu hanya dinikmati segelintir di kalangan pimpinan Umno yang mengamalkan nepotisme dan kronime yang semakin menebal dalam Umno.

"Ini juga dapat dilihat dalam pemilihan Umno baru-baru ini dan juga projek-projek yang hanya diagihkan kepada mereka yang berkepentingan dalam parti," katanya.

Mengulas mengenai pendedahan Tun Mahathir yang dilihat seolah-olah mahu membalas dendam terhadap bekas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Salahuddin berkata sama ada dendam atau tidak, itu masalah rumah tangga Umno.

Bagaimanapun katanya, begitulah amalan Umno, apabila berdendam dan bergaduh sesama sendiri baru mereka mendedahkan apa sebenarnya penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan urus tadbir negara. _

Tiada ulasan: