Ahad, 19 Julai 2009

Malaysia sedia tangkap Nordin

UTUSAN ONLINE


PHUKET - Malaysia sedia bekerjasama rapat dengan kerajaan Indonesia bagi membolehkan penjenayah yang bertanggungjawab ke atas insiden letupan bom di Jakarta semalam dapat diheret ke muka pengadilan.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa berkata, Malaysia memandang serius perkara itu ekoran terdapat dakwaan mengaitkan insiden itu dengan suspek Jemaah Islamiah (JI) kelahiran Malaysia, Nordin Mat Top.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, setakat ini, Wisma Putra masih belum menerima sebarang permintaan daripada Indonesia berhubung perkara itu.

"Ini berdasarkan kepada laporan media dan saya tidak tahu apa sebenarnya mereka maksudkan begitu, tiada bukti konkrit apa yang dimaksudkan ada rakyat Malaysia di sana.

"Ya, benar terdapat dakwaan begitu (penglibatan Nordin) tetapi kalau ada bukti sila beri kepada pihak berkuasa, saya yakin sudah tentu mereka mahu mengetahuinya.

"Kita memang mahu bekerjasama rapat dan itulah yang selalu kita cakap untuk bersama negara-negara jiran bagi memerangi keganasan," katanya.

Laporan media hari ini menyebut, insiden pengeboman di dua hotel mewah di Jakarta semalam 'secara jelas dikaitkan' dengan Nordin yang merupakan salah seorang suspek pengganas yang paling dikehendaki di Asia.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas insiden itu tetapi laporan AFP menyebut Ketua Bahagian Anti Keganasan Kementerian Dalam Negeri, Indonesia, Ansyaad Mbai dilaporkan berkata, bahawa terdapat bukti yang jelas Nordin terlibat dengan kejadian itu.

Sekurang-kurangnya sembilan orang maut termasuk empat warga asing manakala 50 lagi cedera dalam kejadian letupan bom di hotel JW Marriott and Ritz-Carlton, Jakarta semalam.

Tiada ulasan: