Isnin, 27 Julai 2009

Malaysia catat 1,075 kes H1N1

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,075 kes selesema babi atau influenza A (H1N1) dicatatkan di negara ini apabila sebanyak 54 lagi kes baru dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kes terbaru itu melibatkan 43 kes daripada tujuh kluster baru iaitu jangkitan penyakit seperti influenza (ILI), lima kluster sedia ada dan enam kes terpencil.

Menurutnya, 574 kes terlibat adalah kes import dan 501 lagi adalah kes jangkitan tempatan.

''Daripada jumlah ini hanya empat kes iaitu satu peratus sahaja yang masih menerima rawatan anti-viral di hospital," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi memperlahankan penularan wabak selesema babi itu, orang ramai perlu mengetahui dan mengikuti beberapa langkah yang digariskan oleh Jabatan Kesihatan.

Antara langkah itu jelasnya, orang ramai hendaklah sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutama kerap membasuh tangan dan mengamalkan duduk berjarak iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada individu lain di samping mengurangkan majlis perjumpaan.

Selain itu, katanya, bagi kes-kes gejala ringan boleh berehat di rumah dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran yang optimum.

"Mereka juga dinasihatkan memakai penutup hidung dan mulut sekiranya gejala wabak berkenaan bertambah teruk," katanya.

Beliau menambah, mengenai kes kehadiran yang berkurangan di sekolah-sekolah atau tempat kerja akibat gejala demam, batuk dan selesema, ia perlu dilaporkan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.

Mengenai pelajar sekolah atau institusi yang terlibat dengan arahan penutupan sementara, Mohd. Ismail berkata, mereka yang tidak mempunyai simptom H1N1 atau ILI sahaja dibenarkan pulang.

"Namun, bagi mereka yang masih mempunyai tanda-tanda jangkitan, dinasihatkan terus berehat di rumah masing-masing sehingga sembuh bagi mengelakkan daripada berlaku penularan virus di kalangan rakan-rakan," jelasnya.

Tiada ulasan: