Isnin, 6 Julai 2009

Mahkamah tolak permohonan keluarga tuntut mayat Mohan Singh

MALAYSIA KINI


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan keluarga Mohan Singh untuk menuntut mayat pengarah seni bebas itu dari Hospital Sungai Buloh.

Mohan, 41, meninggal dunia keana serangan sakit jantung pada 25 Mei lalu.

Pada 4 Jun, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendapat perintah dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang mengisytiharkan Mohan beragama Islam.

Kakitangan MAIS cuba menuntut mayatnya untuk dikebumikan tetapi rumah mayat Hospital Sungai Buloh enggan membenarkannya kerana Mahkamah Tinggi telah memerintahkan ia disimpan di situ sehingga ditentukan status agama Mohan.

MAIS menuntut mayat Mohan kerana menurutnya pengarah seni itu telah memeluk Islam pada 1992.

Bagaimanapun, keluarganya berkata, Mohan mengamalkan agama Sikh, malah telah menjalankan upacara agama itu bagi ibunya yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Ketika dihubungi, peguam keluarganya A Rajesh Kumar berkata, anak guamnya amat kecewa apabila mendapat tahu keputusan mahkamah hari ini.

Menurutnya, permohonan lisan mereka supaya pelaksanaan penghakiman tersebut ditangguhkan, telah ditolak.

"Keluarga tersebut terperanjat dengan keputusan berkenaan. Kami kini dalam proses memfailkan rayuan," katanya.

Bagaimanapun, kata Rajesh, beliau menjangka mayat Mohan akan dikebumikan mengikut agama Islam hari ini.

Sebelum itu, mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh keluarga Mohan kerana kes itu di bawah bidang kuasa
Mahkamah Syariah Selangor, lapor Bernama.

Hakim Rosnani Saub berkata oleh kerana beliau telah mendapati bahawa Sijil Akuan Masuk Islam Mohan dalam Enakmen Pulau Pinang 1959 yang membuktikan bahawa simati telah memeluk Islam pada 1992, oleh itu Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada beliau masih seorang Islam atau tidak semasa kematiannya.

"Ia diperuntukkan di bawah Seksyen 61 (3)(b)(xi) Enakmen Negeri Selangor dan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu," katanya ketika membacakan penghakimannya berhubung kes itu di sini.

Sijil Akuan Masuk Islam itu merupakan bukti yang mencukupi bahawa Mohan memeluk Islam pada 1992 dan ia berlaku di Pulau Pinang dan mengikut Seksyen 113 (2) Enakmen Negeri Selangor beliau perlu dilayan sebagai orang Islam di negeri ini dan dan tertakluk kepada peruntukan di bawah Enakmen negeri Selangor, katanya.

Kenyataan bahawa gaya hidup Mohan dan kelakuannya yang tidak konsisten sebagai saudara baru Islam tidak mengubah statusnya sebagai orang Islam di mata undang-undang yang ada, katanya.

Rosnani berkata:" Di negeri Selangor, seorang Islam mesti diiktiraf dan
dilayan sebagai orang Islam pada setiap masa sehingga dan jika pengisytiharan dibuat oleh Mahkamah Syariah bahawa beliau bukan lagi seorang Islam.

Beliau juga berkata permohonan semakan kehakiman ditolak dengan kos kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Pengarah Hospital Sungai Buloh, Kerajaan negeri Selangor, kerajaan Malaysia dan MAIS.

Katanya perintah interim Mahkamah Tinggi bertarikh 1 Jun tahun ini yang
tidak membenarkan hospital melepaskan mayat kepada mana-mana pihak sehingga prosiding sivil selesai juga dibubarkan.

Keluarga Mohan telah memohon semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengarah Hospital Sungai Buloh kerana tidak membenarkan mereka menuntut mayat Mohan dari Hospital Sungai Buloh dan juga MAIS sama ada simati itu meninggal dunia sebagai orang Islam atau sebaliknya.

Semakan kehakiman juga mengandungi perintah mandamus bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Pengarah Hospital itu melepaskan mayat Mohan kepada keluarganya untuk dibakar mengikut upacara agama Sikh.

Rosnani berkata keputusan Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengarah Hospital untuk tidak melepaskan mayat simati kepada pemohon-pemohon adalah alasan yang kuat dan berpatutan memandangkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah mengeluarkan pengisytiharan bahawa Mohan meninggal dunia sebagai orang Islam dan oleh itu MAIS menjadi pihak berkuasa yang tepat bagi melaksanakan pengebumian
secara Islam kepada beliau.

Mohan atau nama Islamnya Mohammad Hazzery Shah Mohan Abdullah meninggal dunia di sebuah apartmen di Damansara Damai pada 25 Jun tahun ini akibat sakit jantung berdasarkan kepada bedah siasat ke atas mayatnya di Hospital Sungai Buloh.

Dalam prosiding, pemohon-pemohon yang terdiri daripada adik-adik perempuan Mohan iaitu Baldi Kaur, J. Belvikohr, Jaswant Kaur dan P.Nagamuthu diwakili peguam bela mereka Rajesh Kumar.

Responden-responden seperti MAIS diwakili Zainul Rijal Abu Bakar
manakalkerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengarah Hospital Sungai Buloh diwakili Mohd Radhi Abbas.

Mohd Radhi memberitahu pemberita selepas penghakiman itu bahawa MAIS akan bertanggungjawab mengadakan upacara pengebumian mengikut cara Islam kepada si mati.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MAIS Rohana Hassan memberitahu pemberita bahawa majlis itu akan menuntut jenazah itu untuk dikebumikan pada sebelah petang di tanah perkuburan Islam di Sungai Buloh.

Bagaimanapun, katanya, MAIS akan memberikan peluang kepada keluarganya untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya sebelum upacara pengebumian mengikut cara Islam.

Tiada ulasan: