Jumaat, 17 Julai 2009

Mahkamah diberitahu Raja Petra masih berada dalam negara

BERNAMA

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini pada hari Jumaat diberitahu penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin, yang menghadapi pertuduhan menghasut, dipercayai masih berada dalam negara dan bukannya di Australia seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata melalui siasatan yang telah dibuat oleh pihak polis, Raja Petra, 59, didapati tidak pernah langsung meninggalkan negara ini.

"Berdasarkan siasatan pihak polis iaitu dari rekod pihak Imigresen, tiada rekod menunjukkkan Raja Petra telah keluar dari negara ini, dan pihak polis kini berusaha mengesan Raja Petra termasuk bekerjasama dengan pihak Interpol bagi memastikan kesahihan dakwaan beliau (Raja Petra) kini berada di Australia.

"Kini terdapat petanda positif hasil daripada siasatan, bahawa dalam masa tiga atau empat bulan kami mungkin dapat mengesan dan boleh melaksanakan waran tangkap terhadap Raja Petra," kata Mohd Dusuki.

Mohd Dusuki berkata demikian setelah peguam J. Chandra yang mewakili Raja Petra mengatakan tiada usaha daripada pihak polis bagi mengesan Raja Petra kerana kali terakhir pihak polis berusaha datang ke rumah Raja Petra ialah pada 7 Julai lalu sedangkan laporan media sebelum ini mengatakan bahawa penulis blog itu kini berada di Australia.

Raja Petra, 59, didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk ""Let's Send Altantuya Murderers To Hell" yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://www.Malaysiatoday.com di rumahnya di No.5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pada 25 April tahun lepas.

Terdahulu Mohd Dusuki berkata pihak polis masih gagal menyerahkan waran tangkap terhadap Raja Petra dan surat tunjuk sebab kepada isteri Raja Petra, Mable @ Marina Lee, selaku penjamin

Beliau berkata polis telah pergi ke rumah penulis bolg tersebut pada 7 Julai lalu namun mendapati tiada sesiapa berada di rumah tersebut.

Hakim Rozina Ayob kemudian menetapkan 12 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pada 23 April lalu, Rozina telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Raja Petra selepas beliau tidak hadir untuk perbicaraan kes hasutannya.

Beliau juga turut mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada isteri Raja Petra, selaku penjamin kerana turut tidak hadir di mahkamah.

Tiada ulasan: