Selasa, 28 Julai 2009

Mahkamah benar rayuan Anwar

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, memutuskan permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan perintah larangan berhimpun di depan bangunan Parlimen, tahun lalu, didengar semula dan diputuskan di Mahkamah Majistret.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Anwar terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Majistret pada 15 Disember 2008.

Zainal Azman, berkata Majistret tersilap apabila memutuskan sebelum ini, permohonan Anwar itu tidak perlu didengar kerana sudah menjadi akademik.

Pada 13 Julai 2008, Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah (KAJ) secara ex-parte kepada Ketua Polis Daerah Sentul bagi melarang Anwar dan penyokong pakatan pembangkang mengadakan perhimpunan di depan bangunan Parlimen untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar seterusnya mengemukakan permohonan untuk membatalkan atau mengetepikan perintah itu, lima hari kemudian.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal dengan alasan tiada isu perlu dibicarakan kerana perintah itu sudah luput dengan sendirinya dalam masa tujuh hari dari tarikh ia dikeluarkan pada 13 Julai 2008, mengikut Seksyen 98(5) KAJ.

Pada 15 Disember 2008, Mahkamah Majistret membenarkan bantahan awal pendakwaan dan menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan perintah larangan itu.

Anwar diwakili peguam Lai Chee Hoe manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin.

Tiada ulasan: