Rabu, 15 Julai 2009

LPA Salak Tinggi mungkin ditutup

Oleh THOMAS CHONG


SEPANG - Loji Pembersihan Air (LPA) Salak Tinggi yang membekalkan air kepada 10,000 penduduk di sini mungkin terpaksa ditutup sepenuhnya akibat pencemaran berterusan di Sungai Labu.

Loji tersebut pernah ditutup sebanyak 13 kali sejak 2005 dan mencatat rekod penutupan selama tiga bulan gara-gara air sungai tercemar dan tidak menepati piawaian kesihatan.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, pencemaran ammonia di Sungai Labu menjadi serius terutama pada musim kemarau ketika paras air sungai rendah.

''Pencemaran ammonia berpunca daripada sampah dan bahan buangan industri di sungai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan operasi LPA Salak Tinggi di sini terpaksa dihentikan kerana pencemaran ammonia, air berbuih dan berbau busuk.

Loji ini pernah ditutup pada 26 Jun lalu tetapi dibuka semula pada 28 Jun. Ia terpaksa ditutup semula pada 6 Julai lalu selepas air Sungai Labu didapati tercemar.

Bekalan air di Sepang bagaimanapun tidak terjejas kerana Syabas telah menyalurkan air dari sumber alternatif melalui Sungai Semenyih.

Penduduk di Kampung Tanjung, Nilai yang menetap di tepi sungai mendakwa pencemaran Sungai Labu berpunca daripada bahan buangan industri dari Sungai Nilai yang mengalir ke Sungai Labu.

Abdul Halem berkata, selain LPA Salak Tinggi, LPA Batu 11 di Cheras merupakan satu lagi loji yang yang paling kerap dihentikan operasi kerana pencemaran di Sungai Langat.

Menurutnya, LPA Batu 11 Cheras telah dihentikan operasinya pada hari ini selepas Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (Puncak Niaga) mengesan pencemaran ammonia di sungai tersebut.

''Bekalan air bagaimanapun tidak terjejas kerana Syabas telah menyalurkan air dari sumber alternatif.

''Puncak Niaga telah memaklumkan kepada pihak berkenaan termasuk Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar sebaik menerima laporan mengenai pencemaran sungai," katanya.

Tiada ulasan: