Isnin, 27 Julai 2009

Lima maut diseret lori kontena

Oleh Irwan Shafrizan Ismail


MARAN: Lima beranak termasuk seorang bayi lelaki berusia 11 bulan maut apabila kereta Perodua Kenari dinaiki dirempuh sebuah lori kontena yang terbabas memasuki laluan mereka sebelum diseret kira-kira 80 meter, di Kilometer 77 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di hadapan Kompleks Rakan Muda, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta yang juga seorang pembantu rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Purun, Triang, Nasarudin Abdul Aziz, 32; isterinya, guru Sekolah Kebangsaan Felda Purun, Fatmawati Harun, 30 dan bayi mereka, Muhammad Nazhif Iman, 11 bulan.

Turut terbunuh di tempat kejadian ibu Fatmawati, Sepiah Mohamad, 60, serta adiknya, Mohd Syakirin, 23, dan semua mangsa berasal dari Felda Jengka 5.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata pemandu lori terbabit berusia 39 tahun dari Kuala Lumpur, patah kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh manakala kelindan berusia 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, lima beranak terbabit dipercayai baru selesai makan tengah hari di sebuah kedai berhampiran selepas bersiar-siar di bandar ini sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Felda Jengka 5.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, lori terbabit yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan untuk menghantar tong gas kosong, dipercayai terbabas sebelum tayar depan kenderaan berat terbabit melanggar penghadang jalan.

“Laluan ini adalah jalan lurus dan lori terbabit yang terbabas seakan terbang sebelum merempuh Kenari berkenaan yang kebetulan melalui laluan bersebelahan.

“Selepas merempuh, lori itu menyeret kereta sejauh kira-kira 80 meter dan terbalik sebelum kedua-dua kenderaan terbabit merempuh tebing berbukit.

“Kereta terbabit hancur menyebabkan semua mangsa maut di tempat kejadian selepas kereta tersepit antara kepala lori dan tebing bukit,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ahmad Johari, anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Beliau berkata, polis akan mengambil keterangan pemandu dan kelindan lori terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: