Rabu, 29 Julai 2009

Larangan guna peguam di TTPM

Oleh THOMAS CHONG


PUTRAJAYA - Syarikat-syarikat yang dihadapkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dilarang menggunakan khidmat peguam semasa tribunal bersidang selepas Akta Perlindungan Pengguna 1999 dipinda.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan akta tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

''Selepas itu, peguam atau penasihat undang-undang syarikat tidak lagi dibenarkan untuk hadir ke persidangan tribunal pengguna.

''Ini kerana pengadu terpaksa hadir ke tribunal seorang diri tetapi syarikat pula dibantu oleh pihak yang mempunyai pengetahuan undang-undang, keadaan ini tidak adil kepada satu pihak,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 233 orang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, TTPM telah ditubuhkan di semua negeri dan rancangan jangka panjang kerajaan adalah memperluaskannya ke peringkat daerah.

Beliau berkata, TTPM sejak awal tahun ini telah menerima 3,530 kes tuntutan pengguna dan 80 peratus daripada kes itu telah diselesaikan.

''Pengadu yang ingin membuat aduan melalui TTPM hanya perlu membayar RM5 dan TTPM akan memanggil persidangan dalam tempoh 60 hari.

''Keputusan akan diketahui pada hari persidangan tribunal dan pesalah perlu membayar tuntutan pengadu dalam tempoh 14 hari, kegagalan pesalah berbuat demikian akan menyebabkannya didakwa di mahkamah majistret,'' katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya menerima 800 hingga 1,000 aduan pada setiap bulan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel, surat, telefon dan saluran lain.

''Antara jenis aduan yang paling banyak kita terima melibatkan penipuan perkhidmatan, penipuan harga dan cetak rompak,'' katanya.

Tiada ulasan: