Jumaat, 3 Julai 2009

Lapan lagi pusat kardiologi dibina

MYMETRO


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan membina lapan lagi pusat kardiologi di seluruh negara dalam usaha membantu pesakit jantung untuk mendapatkan rawatan perubatan lebih lanjut serta lengkap dengan kemudahan serta kelengkapan terkini.

Menteri kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penyakit jantung masih lagi kekal sebagai penyakit nombor satu di negara ini yang berisiko meragut nyawa penghidapnya dan disebabkan itu, pihaknya bersama-sama Institut Jantung Negara (IJN) akan sentiasa mengadakan usaha sama terutama dalam mewujudkan rangkaian pusat perubatan khusus untuk pesakit jantung.

Katanya, bagi menjayakan hasrat itu, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan bagi membina pusat kardiologi di lapan kawasan yang dikenal pasti iaitu di Selangor, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

“Sehingga kini, penyakit jantung masih lagi menjadi pembunuh nombor satu di negara ini berikutan mempunyai risiko besar untuk menyerang individu secara diam-diam.

“Keadaan semakin rumit berikutan ketiadaan banyak pusat perubatan yang khusus merawat pesakit jantung dan jika ada sekalipun, ia cuma mampu menangani kes yang tidak rumit disebabkan kekurangan kemudahan untuk rawatannya,” katanya pada sidang media.

Tiada ulasan: