Sabtu, 25 Julai 2009

Lantik agensi kerajaan urus Dana Persaraan Swasta

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran melantik agensi di bawahnya untuk menguruskan Dana Persaraan Swasta yang bakal diwujudkan pertengahan tahun depan demi faedah para pekerja di negara ini.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Mustafar Maarof berkata, lesen pengurusan dana berkenaan tidak harus diberikan kepada syarikat pengurusan dana memandangkan mereka tidak terlibat dalam pembangunan sumber manusia dan modal insan.

"Sebagai contoh, kerajaan boleh melantik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen atau Tabung Haji untuk mengurus dan melaksanakan Dana Persaraan Swasta tersebut.

"Kesemua agensi berkenaan mempunyai kemampuan dan pengalaman tersendiri dalam menguruskan sesuatu caruman. Golongan pekerja atau rakyat yang bekerja sendiri harus menguruskan caruman mereka sendiri secara terus dengan kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengumumkan Dana Persaraan Swasta akan diwujudkan pada pertengahan tahun depan untuk mereka yang tidak dilindungi oleh dana pencen rasmi agar mampu menikmati kehidupan lebih baik ketika bersara.

Beliau berkata, dana persaraan ketiga itu akan dipelopori oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang akan menyiapkan laporan menyeluruh termasuk peraturan bagi mewujudkan dana berkenaan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Menurutnya, beberapa syarikat pengurusan dana telah menunjukkan minat untuk mewujudkan Dana Persaraan Swasta tersebut.

Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar dilaporkan berkata, tiada sekatan dikenakan dalam memohon lesen mengurus dana itu kerana industri pengurusan dana tempatan telah menjalani proses liberalisasi.

Sementara itu Mustafar berkata, pihaknya masih keliru dengan kenyataan 'proses liberalisasi' tersebut kerana SC seolah-olah berani memberi jaminan 100 peratus berkaitan sebarang dana pelaburan di dalam negara ini.

"Perlu diingat sebahagian besar wang caruman dana tersebut adalah daripada mereka yang bekerja sendiri dan pekerja swasta yang 80 peratus adalah berpendapatan rendah serta sederhana," katanya.

Tambah beliau, Dana Persaraan Swasta yang melibatkan faktor sumber manusia dan pembangunan modal insan harus dilihat daripada perspektif berbeza, malah kajian terperinci serta dialog terbuka perlu dijalankan untuk mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan juga berkata, kerajaan perlu melantik agensi di bawah struktur kerajaan sendiri untuk melaksanakan Dana Persaraan Swasta yang bakal diwujudkan itu.

"Kerajaan harus melantik KWSP untuk menguruskan dana tersebut bagi memastikan para pencarum mendapat pulangan yang maksimum. Dana ini tidak harus diwujudkan dalam keadaan terburu-buru tanpa kajian menyeluruh.

"Kita tidak mahu ia mengalami nasib sama seperti dana saham amanah negeri yang terpaksa dibubarkan berikutan ketidakcekapan urus tadbir pengurus dana," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, pihaknya kecewa kerana sehingga kini kesatuan-kesatuan sekerja tidak dipanggil untuk berbincang berkaitan kewujudan Dana Persaraan Swasta.

"Pihak kesatuan sekerja sewajarnya diberitahu dan diajak berunding berhubung idea mewujudkan dana persaraan ini. Kami seharusnya diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dalam perkara ini," katanya.

Tiada ulasan: