Selasa, 7 Julai 2009

KPI menteri akan diumum

Oleh ZABRY MOHAMAD


PUTRAJAYA - Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan bagi menilai prestasi barisan menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan perkhidmatan awam akan diumumkan tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, turut diumumkan kelak Bidang Keputusan Utama (KRA) yang akan menjadi keutamaan kerajaan untuk tahun-tahun mendatang.

"Saya tidak bercadang hari ini untuk menghuraikan apa yang termaktub sebagai KRA dan KPI tapi ini akan menjadi satu kaedah pembaharuan dalam cara kita mentadbir negara.

"Ini merupakan satu pendekatan yang akan memberi nafas baru dalam usaha kita untuk membawa negara ke tahap lebih berjaya," katanya.

Beliau berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon memberitahu, Najib berpuas hati dengan komitmen menteri-menteri Kabinet untuk mencapai KPI yang merupakan satu transformasi kepada perkhidmatan kerajaan.

Tsu Koon berkata, Perdana Menteri juga akan mengumumkan beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan berhubung KPI memandangkan setiap kementerian mempunyai bidang keutamaan berbeza.

Najib menambah, bagi memastikan apa juga matlamat atau agenda negara tercapai, adalah penting hubungan di antara anggota pentadbiran kerajaan dan kakitangan perkhidmatan awam diperkukuhkan lagi.

Menurutnya, seperti perkongsian bijak sektor awam dengan sektor swasta, hubungan mantap di antara anggota-anggota pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam juga akan membawa faedah kepada rakyat serta negara.

"Kalau kita menyorot kembali sejarah negara, kejayaan-kejayaan yang membawa kepada pembaharuan atau penyelesaian apa juga krisis, ia tetap bersandar kepada hubungan istimewa sebegini.

"Ketika negara sedang melangkah ke hadapan, saya nak tekankan betapa penting hubungan ini diperkukuhkan," ujarnya.

Perdana Menteri menjelaskan, keakraban di antara kedua-dua pihak bukan sekadar berbentuk formal seperti antara menteri dengan Ketua Setiausaha dan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara dengan pegawai tinggi, sebaliknya menjurus sehingga kepada hubungan rohaniah dan emosi.

Ini kerana, katanya, anggota-anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam perlu menyemai kepercayaan bahawa agenda kerajaan adalah yang terbaik untuk negara.

"Pembaharuan ini bukanlah semata-mata mahu memenangi pilihan raya umum akan datang, tapi transformasi terhadap negara.

"Transformasi bukan semata-mata pembaharuan kerana ia (pembaharuan) boleh jadi luaran saja, tapi transformasi merupakan pembaharuan yang holistik dan menyeluruh," jelasnya.

Tiada ulasan: