Rabu, 1 Julai 2009

Konsep Islam Hadhari, 1Malaysia ada persamaan

BERITA HARIAN ONLINE


PENDEKATAN Islam Hadhari yang dicetuskan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan konsep 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai persamaan dalam melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu padu sekali gus menggambarkan kesinambungan antara dasar pemerintahan kepemimpinan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata dengan melaksanakan 10 prinsip yang digariskan dalam Islam Hadhari termasuk keimanan dan ketakwaan kepada Allah, kerajaan adil dan beramanah, rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembelaan hak kumpulan minoriti serta keutuhan budaya dan moral akan melahirkan masyarakat 1Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Beliau berkata, pendekatan Islam Hadhari dilaksanakan kerajaan dulu berterusan hingga sekarang dan kini bergabung bersama konsep 1Malaysia.

"Jika merujuk secara telus dan lengkap kepada 10 perkara pokok dalam Islam Hadhari dan dihubungkan dengan 1Malaysia, ada persamaan yang begitu dekat.

"Prinsip terakhir Islam Hadhari mengenai kekuatan pertahanan bukan untuk umat Islam dan orang Melayu semata-mata, sebaliknya bertujuan melahirkan kesejahteraan ummah, membentuk satu negara yang adil serta amanah dan pada masa sama keamanan rakyat dijamin sekali gus memastikan sektor ekonomi, pendidikan, sosial dapat berjalan dengan baik," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau).

Prinsip lain terkandung dalam Islam Hadhari ialah pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti dan pemuliharaan alam semula jadi.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang mendakwa Islam Hadhari adalah bukti kegagalan projek Barisan Nasional (BN) dan tiada kesinambungan antara pemimpin dulu dan sekarang, Jamil Khir menolak dakwaan itu yang disifatkannya tidak tepat.

Jamil Khir berkata, berdasarkan kajian Kefahaman dan Penerimaan Masyarakat Terhadap Pendekatan Islam Hadhari dijalankan Pakarunding Sdn Bhd Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menunjukkan 84.8 peratus daripada 2,244 responden bersetuju dan menerima pendekatan Islam Hadhari.

Beliau berkata, responden kajian membabitkan kakitangan kerajaan, swasta, ahli korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan politik, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), warga pendidik, pelajar sekolah dan anggota tentera.

“Kerajaan berusaha sebaik mungkin meletakkan kedudukan Islam di atas setiap dasar yang dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dengan mengambil kira rakyat berbilang agama, budaya dan bangsa,” katanya

Tiada ulasan: