Rabu, 1 Julai 2009

Konsep '1Kelantan' diperkenal sejak 1990

Lanjusoh


KOTA BHARU - Dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksana kerajaan Kelantan sejak 1990 ternyata turut diterima rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Di mana ia mencerminkan seakan-akan konsep 1Kelantan apabila semua kaum dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa di bawah dasar tersebut.

Sedangkan konsep 1Malaysia baru diperkenalkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak selepas mengambil alih teraju pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi April lalu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Anuar Tan Abdullah berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) baru sedar konsep tersebut sedangkan ia sudah lama diamalkan di Kelantan kini hampir 20 tahun.

"Konsep 1Kelantan dibuktikan apabila masyarakat berbilang kaum di negeri ini dapat hidup aman damai. Mereka seperti satu keluarga.

"Keadaan itu berlaku kerana Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak awal lagi menekankan semua manusia adalah sama kerana berasal dari Nabi Adam dan Hawa," katanya ketika menjawab soalan Dato' Abdul Aziz Derashid (BN - Kuala Balah) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata, konsep 1Kelantan kini diterima pula rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada pilihan raya umum lalu setelah berjaya menolak kerajaan BN.

Menurutnya konsep perpaduan itu akan terus menular pada masa akan datang sehingga mampu menggugat kerajaan BN.

Perdana Menteri baru-baru ini melancarkan logo konsep 1Malaysia, dengan tema 'Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan'.

Bagaimanapun kata Anuar Tan majlis pelancaran tersebut sendat dengan hiburan seakan-akan program Citrawarna dengan menampilkan ramai artis.

"Konsep 1Malaysia Umno mengutamakan nyanyian dan tarian sedangkan 1Kelantan lebih menumpukan kepada keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, pelbagai undang-undang dan peraturan telah digubal bagi mencegah jenayah dan kemungkaran namun masih gagal mencapai matlamat.

Katanya, hanya dengan penguatkuasaan hukum Islam mampu mencegah segala kemungkaran dan gejala sosial yang berlaku sekarang.

Ketika menjawab soalan Haji Abdul Aziz Kadir (PAS - Jelawat) katanya, di setiap 12 pihak berkuasa tempatan di Kelantan ada skuad Amru yang berperanan mencegah perkara mungkar.

Beliau juga memberitahu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam mempunyai pusat pemulihan yang terletak di Jalan Mustafa bagi memberi kesedaran agama kepada remaja yang ditahan di kawasan bandar. - mj _

Tiada ulasan: