Sabtu, 11 Julai 2009

Kokain RM500,000 dalam perut

Oleh Petah Wazzan Iskandar


KUALA LUMPUR: Sebanyak 165 ketulan dadah jenis kokain dikeluarkan daripada perut dua wanita Thailand yang disyaki menjadi kurier sindiket dadah antarabangsa selepas ditahan di Hentian Puduraya, Jumaat dan Selasa lalu.

Kedua-dua mereka berusia 25 dan 37 tahun yang menunggu bas ke Thailand dipercayai baru tiba di negara ini dari Amerika Selatan dan melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menelan dadah itu.

Dianggarkan semua dadah yang ditelan bernilai RM500,000 manakala upah untuk menjadi kurier hanya RM5,000 seorang.

Ketua Cawangan Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata penahanan mereka adalah hasil perkongsian maklumat polis Malaysia dan Thailand.

“Pemeriksaan tubuh yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek tidak menemui sebarang dadah. Bagaimanapun, dalam pemeriksaan X-ray terhadap suspek pertama yang ditahan Jumaat lalu, polis menemui ketulan kokain yang dibalut dengan tiga lapisan getah di dalam perut dan ususnya.

“Suspek kemudian ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama tujuh hari untuk membolehkannya mengeluarkan dadah itu dengan cara membuang air besar. Polis menemui 98 ketulan dadah seberat lebih satu kilo-gram.

“Suspek kedua yang ditahan Selasa lalu turut dibawa ke HKL dan pemeriksaan X-ray menemui sejumlah dadah dalam perutnya. Sehingga semalam, 67 ketulan dadah seberat 878 gram kokain berjaya dikeluarkan daripada tubuhnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kang berkata, suspek pertama kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, manakala suspek kedua masih di HKL bagi membolehkan proses mengeluarkan baki ketulan dadah dari tubuhnya. Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua wanita itu menjadi kurier sindiket didalangi warga Afrika yang menjadikan Malaysia sebagai transit kegiatan mereka.

“Walaupun kedua-dua suspek menggunakan modus operandi sama, kami sedang menyiasat sama ada mereka bekerja untuk sindiket sama.

“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan penerbangan negara ini untuk ke Amerika Selatan kerana tambangnya lebih murah dan perjalanan ke Thailand menggunakan bas ekspres,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kang berkata, sepasang warga tempatan ditahan selepas polis yang menyerbu rumah mereka di Jalan Sungai Besi dekat sini, dan menemui 432.64 gram ketamin, 1,300 biji pil eramin 5 dan 605 pil ecstasy.

“Siasatan awal mendapati suspek beroperasi sejak enam bulan lalu dan mensasarkan pusat hiburan di sekitar ibu negara untuk pasaran,” katanya.

Tiada ulasan: