Jumaat, 24 Julai 2009

Klinik dalam bas


Bas dua tingkat yang diubah suai menjadi ruang rawatan pergigian milik Angkatan Tentera Malaysia. - BERNAMA


KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan sebuah Klinik Pergigian Bergerak (KPB) dalam bentuk bas dua tingkat yang pertama di dunia.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, ini adalah bukti pencapaian ATM memanfaatkan bidang sains dan teknologi terutama dalam mengukuhkan perkhidmatan kesihatan dalam kalangan anggota tentera.

Katanya, KPB yang lengkap dengan pelbagai peralatan pergigian, lif dan kapasiti lapan orang itu juga boleh dimanfaatkan kepada orang awam yang tinggal di kawasan pedalaman.

"KPB ini juga berpotensi menjadi klinik gigi yang mampu memberi perkhidmatan kepada penduduk yang tidak mempunyai kemudahan klinik statik di kawasan luar bandar.

"Oleh itu, klinik ini bukan sahaja membawa nama baik ATM dalam bidang penciptaan, malah turut memberi peluang kepada warga ATM berkhidmat kepada orang awam menerusi tawaran perubatan pergigian," katanya pada majlis pelancaran KPB ATM dan Sistem Aplikasi Pergigian di sini hari ini.

KPB yang berasaskan casis bas dua tingkat model Sweden itu dibina pada Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya pada awal Julai ini dengan kos sebanyak RM2.34 juta.

Dek atas bas dua tingkat tersebut merangkumi dua surgeri rawatan lengkap dan bilik pembersihan peralatan sementara di dek bawah pula mempunyai kaunter pendaftaran dan ruangan menunggu para pesakit.

Pada majlis itu, sebuah sistem aplikasi pergigian yang dikenali sebagai Dental Readiness Management System (DRMS) bagi kemudahan para anggota ATM mendapatkan khidmat pergigian di mana-mana hospital di bawah kendalian ATM turut dilancarkan.

Menurut Abdul Aziz, DRMS ini adalah modul utama dalam Projek Peningkatan Sistem Informasi Automasi Pergigian (Siap) yang dibangunkan pada 2007 dengan belanja kira-kira RM9 juta.

"Dengan adanya DRMS, semua rekod pergigian warga ATM dapat disimpan secara berpusat dan dihubungkan ke semua pusat pergigian dan hospital di bawah kelolaan ATM," katanya.

Abdul Aziz menambah, kejayaan penciptaan kedua-dua alat canggih ini bukan sekadar kepentingan tuntutan kesihatan, malah perlu dilihat sebagai satu petunjuk prestasi yang perlu dijadikan perangsang bagi terus menonjolkan kecemerlangan ATM.

Tiada ulasan: