Jumaat, 24 Julai 2009

Kita kurang pakar kanser kanak-kanak

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Lebih ramai pakar kanser kanak-kanak diperlukan di negara ini bagi merawat pesakit kecil yang menderita penyakit itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf.

Beliau berkata, setakat ini, negara hanya memiliki seramai 10 pakar kanser kanak-kanak yang ditempatkan di hospital kerajaan.

''Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini sedang mengkaji perkara ini termasuk memberi 600 biasiswa bagi melatih dan menyediakan kepakaran di kalangan doktor sedia ada.

''Langkah ini bertujuan memastikan negara tidak terus 'ketandusan' doktor-doktor pakar khusus untuk merawat pesakit kanser,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Institut Pediatrik di HKL di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain.

Sementara itu, menurut Mohd. Nasir, kementerian juga bercadang untuk menempatkan doktor-doktor pakar di setiap negeri jika negara ini berjaya melahirkan lebih ramai doktor pakar kanser kanak-kanak.

''Sekiranya kerajaan berjaya mencapai sasaran ini, kita tidak lagi perlu bimbang untuk menempatkan doktor-doktor pakar di setiap negeri.

''Ia sekali gus memudahkan pesakit-pesakit yang tinggal di luar ibu negara mendapatkan rawatan di negeri masing-masing tanpa perlu datang ke HKL,'' katanya.

Terdahulu, Rosmah meluangkan masa lebih sejam melawat kira-kira 350 pesakit kanak-kanak di Wad Perubatan dan Nefrologi (KK1), Wad Perubatan, Kardiologi dan Neurologi (KK2) serta Wad Onkologi (KK3) di institut tersebut.

Lawatan itu diadakan sempena ulang tahun kelahiran ke-56 suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Dalam lawatan itu, Rosmah turut menghadiahkan hamper berisi coklat, buah-buahan, anak patung beruang serta siri buku cerita kepada kanak-kanak di wad berkenaan.

Beliau berkata, kunjungannya itu juga merupakan satu aktiviti dalam usaha mendekatkan diri serta mendalami isi hati seluruh rakyat negara ini.

''Pada sesi lawatan ini, saya bertemu dengan kanak-kanak yang menghidap pelbagai kanser serta buah pinggang, dan saya dimaklumkan bahawa negara kekurangan pakar kanser untuk merawat pesakit-pesakit ini,'' ujarnya.

Tiada ulasan: