Selasa, 7 Julai 2009

Khir fail saman terhadap Chang Khim

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo akan memfailkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor, Teng Chang Khim esok.

Saman tersebut berhubung keputusan jawatankuasa itu supaya beliau digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama setahun.

Tindakan saman yang dipersetujui semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dalam satu mesyuarat yang diadakan di sini hari ini turut melibatkan kesemua ahli jawatankuasa tersebut.

Katanya, keputusan menggantung beliau serta empat lagi ADUN BN adalah tidak wajar selain melanggar prosedur serta peraturan DUN Selangor.

"Kita (ADUN BN) telah bersetuju, kita akan kumpulkan dana mengambil tindakan saman terhadap beliau (Chang Khim) dan ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor.

"Peguam saya akan draf surat mengenai perkara ini (saman). Esok atau lusa kita akan failkan di mahkamah termasuk mengetepikan keputusan penggantungan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Khir, dalam sejarah negara ini tidak pernah satu pihak mencetuskan isu kemudian membuat siasatan dan penghakiman seterusnya membuat keputusan dalam sesuatu perkara.

"Tidak pernah ada keadaan seperti ini berlaku dalam sejarah negara. Kalau beginilah keadaannya, mana wujudnya keadilan," jelas beliau.

Pada 19 Mei lalu, jawatankuasa itu memutuskan mencadangkan pada sidang DUN akan datang supaya Mohd. Khir yang juga Ketua Pembangkang dan empat wakil rakyat BN digantung selama setahun termasuk tidak diberi elaun berkaitan atas dakwaan menghina Dewan.

Mohamad Khir didapati bersalah kerana gagal menghadiri pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) pada Mac lalu.

Empat lagi ADUN BN, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam); Datuk Warno Dogol (Sabak); Mohd. Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil) pula didapati bersalah apabila mengkritik Selcat di media.

Mohd. Khir yang juga ADUN Sungai Panjang menyifatkan tindakan jawatankuasa tersebut mungkin sebagai satu cubaan balas dendam oleh Chang Khim yang pernah digantung daripada menghadiri sidang DUN selama satu tahun setengah kerana menghina Dewan ketika pentadbiran BN sebelum ini.

Ini kerana, Chang Khim enggan memohon maaf terhadap DUN kerana tindakannya mencampakkan buku peraturan tetap Dewan ke dalam bakul sampah sewaktu DUN bersidang.

Malah, katanya, tindakan jawatankuasa itu juga dilihat satu usaha kerajaan negeri menafikan hak beliau dan empat ADUN BN lain untuk mengundi dalam sesuatu keputusan yang dibuat sidang DUN.

"Kita tahu penggantungan ini bermakna kita tidak ada hak untuk mengundi. Sekiranya kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang pecah, lima dari kita tak boleh mengundi buat usul tidak percaya.

"Ini yang berlaku di Perak sebelum ini apabila Speaker DUN negeri itu menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN," katanya

Mohd. Khir berkata, perkara sama mungkin berlaku di Selangor lebih-lebih lagi ramai rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran pakatan pembangkang menyebabkan ada pihak mengambil langkah membendung tingkah laku wakil rakyat.

Tiada ulasan: