Selasa, 14 Julai 2009

Keselamatan PAS perketat kawalan di waktu kritikal

Lanjusoh


KUALA KRAI - PAS mengarahkan anggota keselamatan parti memperketatkan kawalan di sembilan pusat pengundian bagi mengelakkan sebarang kemungkinan luar jangkaan berlaku pada sebelah petang.

Pengarah Operasi Keselamatan PAS Dun Manek Urai, Mejar (B) Mohamad Ibrahim berkata, pihaknya telah bersiap sedia dengan mengerahkan petugas keselamatan berada di sekitar tempat pembuangan undi.

"Mulai jam 3 hingga 5 petang adalah waktu yang paling kritikal kerana segala kemungkinan boleh berlaku apabila kita lalai biar pun sesaat.

"Saya sudah mengarahkan anggota keselamatan berada di sembilan tempat mengundi tersebut yang terdiri daripada petugas tempatan bagi memastikan tiada pengundi tidak dikenali hadir," katanya di sini.

Beliau berkata seramai 300 petugas keselamatan PAS yang terdiri daripada penduduk tempatan sudah berada di lokasi tempat mengundi bagi memantau setiap pergerakan pengundi yang datang sebelah petang.

Menurutnya petugas keselamatan tempatan itu dibantu seramai 100 orang lagi petugas keselamatan yang datang dari seluruh Kelantan.Image

Beliau juga berkata, sehingga jam 2.30 petang keadaan masih lagi terkawal dan tidak ada kejadian serius yang berlaku kecuali beberapa eksiden kecil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun berkata, situasi yang berlaku sehingga jam 2 petang nampaknya menyebelahi PAS di kesemua peti undi.

Kata beliau, peti undi Manjor yang sebelum ini dikenali kubu kuat Umno memberi reaksi yang positif kepada PAS.

Katanya, mesej yang disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kemungkinan besar difahami pengundi di Manek Urai apabila mahu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Paksu Wil.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap SPR apabila tempat pengundian di Sekolah Kebangsaan Lata Rek diadakan di tingkat satu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai pengundi berusia mengadu bermasalah untuk menaiki tangga ke tingkat atas.

"Kita persoalkan mengapa tidak digunakan bilik tempat mengundi di bawah sedang ianya kosong," ujarnya.

Penyelaras Hal Ehwal Pengundi Luar PAS Kelantan, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, setakat jam 2 petang tadi seramai 1,300 daripada 1,700 pengundi luar yang dikenali sudah membuang undi.

Katanya, perkembangan itu memberi satu lonjakan kepada PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai.

Sementara itu berlaku kejadian eksiden pergaduhan di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Peria apabila seorang penyokong PAS ditumbuk dipercayai dilakukan penyokong Umno.

Manakala sumber lain pula mendakwa pejabat Risda di Peria dijadikan tempat mengagihkan wang oleh Umno kepada pengundi luar. - mj _

Tiada ulasan: