Selasa, 7 Julai 2009

Kes samun, ragut dan curi kenderaan di Perak meningkat

BERNAMA


IPOH: Kes jenayah membabitkan samun, curi kenderaan dan ragut di negeri ini meningkat sepanjang Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah.

Beliau berkata jenayah membabitkan samun meningkat sebanyak 36.35 peratus tahun ini iaitu kepada 739 kes berbanding 542 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Peningkatan itu dipercayai berpunca daripada kegawatan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan polis mendapati penjenayah yang terlibat dalam kegiatan samun turut terbabit dalam penagihan dadah dan antara sasaran mereka ialah kedai yang menjalankan perniagaan 24 jam, kedai di tepi jalan dan kawasan perumahan.

Bagi kes curi kenderaan pula, Zulkefli berkata sebanyak 138 kes dilapor dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 55 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Jenayah ragut juga meningkat sebanyak 37.44 peratus iaitu dari 195 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun lepas kepada 268 kes dalam enam bulan pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata daerah Ipoh, Manjung, Taiping dan Hilir Perak merupakan kawasan yang paling banyak mencatat kes jenayah itu.Zulkefli berkata pihaknya mengadakan program Hari Bertemu pelanggan di pejabatpejabat polis di Perak pada setiap Selasa bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat atau menyampaikan aduan.

"Orang ramai hanya menyalahkan polis apabila kes jenayah berlaku tetapi apabila kami mengadakan program seperti hari bertemu pelanggan, kehadiran mereka amat berkurangan. Sepatutnya orang ramai memberikan kerjasama dengan polis bagi mengurangkan kes jenayah di tempat mereka," katanya.

Beliau berkata selain itu, polis turut mengadakan laman web yang boleh dilawat di alamat www.polisperak.rmp.gov.my/polisperak/index.html bagi mendapatkan pandangan daripada masyarakat berhubung kes jenayah.

Tiada ulasan: